Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Susah Payah Pelarian Taiwan Yang Merintis Kepulauan Yaeyama

En. Nagamasa Shimada

Tarikh Lahir:1944

Tempat Lahir:Bandar Ishigaki

Berhijrah dari Taiwan bersama keluarga.

Saya telah dilahirkan di Ohara, Pulau Iriomote tetapi dibesarkan Takeda, Pulau Ishigaki, dan dah lama tinggal di Takeda. Ayah saya, Ryo Kenpuku (Chien-Fu Liao), telah berhijrah dari Taichung, Taiwan ke Pulau Ishigaki pada tahun 1937. Katanya mula-mula dia datang seorang diri ke Ishigaki, Setelah memastikan kehidupan yang stabil, dia segera memanggil keluarganya datang ke Pulau Ishigaki. Apabila perang bermula, mereka telah berpindah ke Pulau Iriomote untuk berlindung dan saya pun dilahirkan. Sejurus selepas perang, keluarga saya telah kembali ke Ishigaki dan menanam kentang di Nagura, di mana sekarang terletaknya Syarikat Pengeluaran Gula Ishigakijima. Ayah saya telah menjangkakan makanan akan berkurang apabila perang tamat dan semua orang kembali ke rumah. Jadi, ayah saya segera menambah hasil kentangnya dan berkata dia memperoleh banyak wang dengan cara itu.

Industri nanas di Pulau Ishigaki.

Dia menggunakan wang itu untuk mula menanam nanas dan membina kilang pengetinan nanas. Sentiasa ada beberapa orang pekerja yang tinggal di rumah saya dan sekitar 20 orang akan duduk di meja panjang untuk makan bersama. Ayah saya mempunyai sebab untuk membina kilang pengetinan nanas di Pulau Ishigaki. Pada tahun 1935, sebuah syarikat yang dipanggil Daido Takushoku telah dibina menggunakan dana orang Taiwan. Individu yang bertanggungjawab dalam syarikat itu, En. Lin Patsu (Fa Lin), telah merekrut buruh dari Taiwan dengan syarat mereka akan bekerja di ladang dan berpindah bersama ke Ishigaki. Kebanyakan daripada mereka khabarnya tidak mampu membaca atau menulis. Ayah saya telah menerima pendidikan Jepun di Taiwan, maka kewujudannya dihargai di kilang nanas. Tidak lama selepas itu, hidupnya menjadi senang dan mampu memanggil keluarganya datang dari Taiwan. Industri nanas bermula pada tahun 1935 dan nanas berjaya ditinkan pada tahun 1938.

Krisis dalam industri nanas.

Tetapi pada tahun 1941, pengeluaran nanas telah diharamkan oleh tentera Jepun. Penduduk dilarang menghasilkan nanas kerana buah itu dianggap barang mewah. Selain itu, logam untuk pengetinan juga tidak cukup, menyebabkan kilang tersebut tidak lagi dapat membekalkan nanas dalam tin. Maka, ia digunakan sebagai berek oleh Tentera Diraja Jepun. Itulah sebabnya orang Taiwan mula mengeluarkan pisang, kacang dan teh. Pemimpin dalam sektor pertanian Taiwan memaklumkan supaya tidak sama sekali membuang biji-biji benih nanas yang ada. Oleh itu, mereka dikatakan telah menyembunyikan biji benih nanas terlarang ini di gunung, bagi memastikan stok biji benih nanas ini masih ada.

Ayah saya serta-merta kembali dari Pulau Iriomote ke Ishigaki selepas perang dengan tujuan untuk menanam nanas ini. Sebelum ayah saya berlindung di Pulau Iriomote, dia telah ditugaskan untuk memperbaik tanah di Pulau Ishigaki bagi menyediakannya untuk aktiviti pertanian. Oleh itu, ketika dia menyeberangi laut ke Pulau Iriomote, terdapat juga tiga ekor kerbau air ikut bersamanya. Selepas perang tamat, dia mahu membawa pulang seekor kerbau ini ke Pulau Ishigaki, dia telah menyerahkan dua ekor lagi kepada pemilik kapal sebagai bayaran menaiki kapal itu ke Pulau Iriomote. Dia kemudiannya menggunakan kerbau air ini untuk membajak dan mula menanam kentang di Nagura.

Gerakan menghalau orang Taiwan

Kerbau air telah dibawa dari Taiwan sekitar tahun 1935. Penduduk di Ishigaki gusar orang Taiwan yang menggunakan kerbau air untuk berladang akan menguasai semua tanah suai tani di pulau itu jika mereka dibiarkan begitu sahaja. Boikot terhadap kerbau air bermula sekitar tahun 1937. Kerbau air yang dibawa dari Taiwan tidak dibenarkan mendarat, dengan alasan bahawa kerbau-kerbau ini tidak menjalani kuarantin. Hentaman terhadap kerbau air dan nanas oleh penduduk Ishigaki semakin bertambah dan terdapat juga gerakan untuk menghalau orang Taiwan.

Berlatar belakangkan sejarah ini, selepas kekalahan Jepun dalam perang pada tahun 1945, kerakyatan orang Taiwan yang tinggal di Jepun dilucutkan dan dianggap sebagai warga asing. Kerajaan pulau di Daerah Yaeyama telah melaksanakan satu dasar untuk memindahkan orang-orang Taiwan keluar dari Nagura di mana tanahnya subur dan sesuai untuk perladangan ke kawasan yang dijangkiti wabak malaria. Walaupun begitu, ayah saya mengambil inisiatif untuk mengambil bahagian dalam dasar itu dan berpindah. Dia melakukannya kerana walaupun dia menikmati faedah menjalani kehidupan sebagai rakyat Jepun hingga saat itu, askar Jepun kalah perang bermakna mereka yang datang dari Taiwan telah menjadi warga asing, mereka hilang kerakyatan dan hak mereka untuk mengundi. Jika mereka bercucuk tanam di ladang orang seperti sebelum ini, mereka juga akan hilang hak sebagai penduduk bandar dan juga hak memiliki aset pada masa hadapan. Tetapi Takeda ialah milik Bandar Ishigaki. Oleh itu, jika mereka menyewa tanah ini dan meminta bandar untuk menjual tanah ini kepada mereka, tanah itu boleh menjadi aset betul-betul milik mereka. Memikirkan bahawa itu lebih baik, ayah saya mengambil inisiatif menjelaskan situasi itu kepada orang-orang Taiwan, dan mencari sesiapa yang mahu pergi
pindah bersama ke Takeda.

Mengatasi malaria.

Saya rasa saya hampir tidak pernah dengar orang Taiwan mati akibat malaria. Seperti tercatat dalam sejarah, penduduk asal Ishigaki yang berlindung di bandar berdekatan Takeda, seperti Shiramizu ketika perang, ramai mati disebabkan malaria. Perkara ini amat menyedihkan. Saya rasa hampir tiada orang Taiwan yang mati akibat malaria. Saya fikir itu perbezaan dalam makanan. Orang Taiwan pandai terutamanya dalam mendapatkan sumber protein. Mereka membela ternakan seperti khinzir dan ayam sambil berkebun dan menggunakannya untuk protein. Mereka juga menangkap belut dan labi-labi dari dalam sungai dan memasang perangkap babi hutan. Pulau Ishigaki mempunyai banyak jenis sumber protein pada waktu itu, tetapi orang tempatan tidak mengambil orang-orang Taiwan ini sebagai rujukan. Saya percaya perbezaan dalam budaya makanan telah membuatkan ketahanan orang Taiwan dan penduduk pulau berbeza sama sekali.

Keluarga saya mengurus ladang nanas dan kilang pengetinan nanas, jadi sentiasa ada pekerja yang tinggal di rumah saya. Antara mereka, yang datang dari Pulau Miyako atau Okinawa amat mudah dijangkiti malaria. Sekitar waktu itu, pihak berkuasa giat menggalakkan pembasmian malaria. Projek untuk membasmi penyakit telah dijalankan dalam banyak bentuk dengan bantuan Amerika Syarikat: ubat telah diberikan, racun perosak DDT telah disembur dan sungai tempat pembiakan nyamuk telah disteril. Pelbagai projek pembasmian dilakukan sehingga sekitar sehingga saya sekolah menengah rendah, Bendera merah akan dinaikkan di tempat yang mempunyai pesakit malaria, bagi membolehkan orang tahu ada pesakit malaria di dalamnya. Bendera merah malaria sering dinaikkan di rumah saya. Selepas tempoh tertentu tanpa gejala, pesakit akan secara tiba-tiba menggigil. Tiada yang mati kerana malaria di rumah saya, tetapi mereka yang datang dari kawasan luar Ishigaki mudah dijangkiti malaria.

Pemulihan selepas perang dan peneroka

Orang Taiwan mula mengusahakan tanah baharu di Nagura sekitar tahun 1935. Orang Taiwan telah membuka sawah padi. Tambak berhampiran Nagura juga dibina oleh orang Taiwan. Walaupun mereka bekerja keras bersama bagi menyediakan tanah untuk bertani, mereka kembali ke Taiwan pada tahun 1944. Mereka meninggalkan tanah yang telah mereka usahakan untuk perladangan selama hampir 10 tahun dan kembali ke Taiwan.

Orang Taiwan tidak dapat kembali ke Jepun, jadi, “imigran” Jepun dari tempat lain memasuki ladang-ladang kosong di Nagura. Ladang-ladang kosong ini adalah tanah yang telah dibuka oleh orang Taiwan, sangat baik untuk pertanian. Terdapat tanaman yang lumayan seperti nanas dan tebu di sini. Oleh itu, ramai memilih untuk menjadi peneroka di sini. Kebanyakan peneroka di Nagura berasal dari Miyako, diikuti oleh orang yang datang dari Pulau Okinawa, kemudian pelbagai tempat seperti Pulau Yonaguni. Ia sama seperti di sekolah saya, dan rasanya dari waktu awal saya sekolah rendah, pelajar pindahan datang setiap hari. Beberapa pelajar pindahan kekal sehingga habis belajar, tetapi ramai rakan sekelas kami yang pindah keluar sebelum habis.

Ada orang yang walaupun mereka datang ke Nagura bersama keluarga mereka, membina teratak dan cuba untuk mula bekerja, akhirnya pergi ke tempat lain kerana kerja yang tidak sesuai dengan mereka atau mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di sini. Pada ketika itu, ada juga kanak-kanak yang dijual ke Itoman.

Sekolah rendah yang bermula di Nagura (Takeda) pada akhir perang telah bertambah kepada 300 orang pelajar dalam lima ke enam tahun selepas dibina. Buku teks atau bilik darjah hampir tidak cukup. Oleh itu, sekali atau dua kali setahun, bapa-bapa dan abang-abang para pelajar akan berkumpul untuk membina pondok untuk dijadikan bangunan sekolah dan menggali perigi. Sekolah yang kami hadiri daripada sekolah rendah sehingga sekolah menengah rendah mempunyai sebuah ladang besar, jadi kami menggunakan masa beberapa jam seminggu bekerjaz di ladang tebu milik sekolah. Kami bekerja keras kerana sekolah akan dapat membeli piano daripada hasil tebu.

Sejak lewat 1950-an hingga awal 1960-an, ramai peneroka datang untuk menetap di timur dan utara Pulau Ishigaki. Peneroka-peneroka di sini mahu menanam nanas, tetapi mereka tiada wang untuk mendapatkan anak pokok. Ayah saya telah meningkatkan hasil nanasnya dan mempunyai banyak anak pokok pada masa itu. Semasa cuti musim panas sekolah menengah rendah, saya tidak pergi bermain bersama rakan-rakan tetapi mengira anak pokok setiap hari, dari pagi hingga malam dan menyerahkan anak pokok nanas kepada pekebun lain. Ayah saya meminjamkan anak-anak pokok kepada mereka yang tiada wang dan jika dia mendapat anak pokok kembali selepas dituai, dia akan meminjamkannya kepada penanam seterusnya. Oleh sebab ayah berbuat begitu, tiada pendapatan wang untuk rumah kami. Pada tahun 1950, empat kilang pengetinan nanas, termasuklah kilang En. Fa Lin dan kilang kami telah bergabung menjadi sebuah syarikat besar dipanggil Ryukyu Canned Foods.

Dengan pelaksanaan rancangan itu, ayah saya mempunyai orang untuk menanam nanas dan berjanji untuk membeli hasil nanas mereka. Ayah saya ialah pengurus kilang syarikat dan turut menanam sendiri nanas. Dia telah membina rumah berukuran 250 meter persegi yang bernilai 1.2 juta yen ketika itu dari segi Yen tentera Jenis B. Dia merancang untuk bergantung pada wang jualan nanasnya untuk membayar duit pembinaan rumah, tetapi kilang tidak dapat memproses peningkatan mendadak hasil nanas di luar jangkaan. Banyak nanas yang terbiar rosak begitu sahaja. Dari sudut pandangan ayah saya sebagai pengurus kilang, dia tidak boleh membeli nanasnya sendiri dahulu. Jadi, dia hanya biarkan nanasnya rosak dan buang semuanya. Memandangkan tiada wang masuk daripada anak pokok atau hasil nanas, keluarga kami dengan segera jatuh bankrap.

Waktu tanpa kerakyatan

Selepas perang, status kerakyatan kami membuatkan kami terumbang-ambing. Sebelum perang, ayah saya telah berimigrasi ke Ishigaki sebagai rakyat Jepun.
Kemudian, Jepun telah kalah dan selepas perang, kami dianggap sebagai orang asing dan hilang kerakyatan. Selepas itu, kami membawa kad permit pemastautin kami sepanjang masa.

Saya telah memasuki sekolah menengah dan sejak tahun satu, saya selalu dipilih untuk menjadi wakil sekolah untuk membuat pembentangan di acara pertanian di luar negeri. Tetapi saya tiada pasport, jadi saya tidak pernah dihantar. Saya telah dilahirkan di Yaeyama dan kerakyatan saya sewaktu lahir adalah Jepun, tetapi Perjanjian San Francisco telah berkuat kuasa dan menjadikan saya bukan lagi orang Jepun. Harta dan aset milik ayah saya telah dirampas, saya akhirnya terpaksa bercucuk tanam untuk hidup walaupun saya lulusan sekolah agrikultur dan perhutanan. Saya tidak mempunyai kerakyatan Jepun, menyebabkan saya tidak dapat meminjam dana kerajaan dan saya tidak dapat menggunakan sebarang perkhidmatan pinjaman awam. Lagi satu masalah ialah masalah perkahwinan. Jika saya mengahwini wanita Jepun, saya amat risau dan tertekan jika anak yang dilahirkan nanti akan menjadi tidak sah taraf. Perkara ini memberi masalah yang sangat besar kepada saya.

Ayah saya telah menerima pendidikan bahasa Jepun sebelum perang dan pro orang Jepun. Dia pasti anak-anaknya tidak akan kembali ke Taiwan, jadi matlamat nombor satunya adalah untuk mendapatkan naturalisasi untuk kami secepat mungkin.Terdapat sebuah cawangan Kementerian Kehakiman di Naha. Kami berulang-alik banyak kali untuk menghantar dokumen permohononan. mereka hanya menerima permohonan ketika saya tahun dua sekolah menengah. Hanya ada lima buah keluarga yang memohon naturalisasi. Kami diberitahu bahawa jika kami mahu dinaturalisasi, kami perlu mendapatkan sijil daripada Taiwan yang membuktikan kerakyatan Taiwan kami telah dilucutkan. Tetapi, memandangkan kami telah dilahirkan di Yaeyama, kami tiada pendaftaran keluarga di Taiwan untuk berbuat begitu. Oleh itu, ayah saya berhujah,
“Kami datang ke Jepun sebagai orang Jepun sebelum perang. Kemudian, Jepun kalah dan kerakyatan kami telah hilang bukan atas kerelaan kami. Jadi, terimalah permohonan ini kerana kami seolah-olah tiada negara.” Kemudian, permohonan kami untuk naturalisasi pun diterima.

Waktu itu, ayah saya memberitahu kami, “Ayah sudah tua tiada banyak masa lagi, jadi ayah tidak akan lalui naturalisasi. Jadi, hanya kamu anak-anak yang mesti dinaturalisasi.” Dia menyenaraikan abang sulung saya sebagai ketua keluarga dan menyerahkan permohonan untuk naturalisasi. Dia menyerahkan permohonan untuk semua adik-beradik kami, tetapi permohonan naturalisasi untuk saya, adik perempuan dan tiga adik lelaki saya telah ditolak. Jikalah ayah saya yang disenaraikan sebagai ketua keluarga, kami semua pasti dapat dinaturalisasikan, tetapi kami yang kanak-kanak bawah umur akhirnya tidak dapat dinaturalisasikan kerana ketua keluarga adalah abang saya. Apabila saya berumur 20 tahun, saya terus memohon naturalisasi dan dalam masa setahun, permohonan itu diluluskan. Anak saya dilahirkan pada bulan September tahun itu, elok-elok sebelum dia lahir, permohonan naturalisasi saya diluluskan pada bulan Julai. Jika naturalisasi saya tidak diluluskan, anak saya sudah pasti lahir sebagai anak tidak bernegara.

Waktu selepas perang dari kaca mata peneroka dari Taiwan

Pendek kata, terdapat pelbagai isu yang timbul. Orang Jepun dikatakan sebagai rakyat kelas pertama manakala orang Okinawa rakyat kelas kedua dan orang Taiwan rakyat kelas ketiga. Orang-orang Taiwan banyak bertungkus-lumus sebelum, semasa dan selepas perang. Orang Taiwanlah yang telah membawa industri nanas ke Jepun, tetapi kedua-dua industri nanas dan kerbau air telah diboikot. Tiada untungnya hidup sebagai orang Taiwan ketika itu. Namun, kami masih tinggal di pulau ini kerana kami menyukainya. Bekerja di pulau ini memberikan kepuasan, juga banyak sumber alam di sini yang boleh menjadi asas untuk kejayaan. Berbanding orang tempatan, saya rasa memang kami hidup lebih susah tetapi saya sangat gembira dan bersyukur kerana setiap kesusahan ada ganjarannya.

Mesej kepada golongan muda

Selepas perang, kami menanam nanas di Takeda. Mangga juga banyak mengeluarkan hasil. Jika kami ketika itu memindahkan banyak buah-buahan Taiwan ke Pulau Ishigaki, pasti kami dapat membina satu taman besar penuh dengan pohon buah-buahan. Saya percaya tanah di Yaeyama merupakan sumber alam yang amat berharga. Saya langsung tidak merasakan yang kerajaan sekarang menghargai sektor agrikultur. Keamanan pada zaman ini dikatakan dapat dikekalkan dengan memiliki kuasa untuk menumpaskan ancaman luar. Tetapi, saya percaya berbaik-baik dengan manusia lain adalah jauh lebih penting daripada mengancam mereka bagi mengekalkan keamanan. Bukankah ini zaman untuk kita berkongsi daripada saling merampas? Daripada mengumpul kuasa untuk menumpaskan orang lain, tidak bolehkah kita jadikan dunia ini lebih aman melalui diplomasi yang lebih harmoni? Itulah yang saya mahu orang muda faham.


Ayah kepada En. Nagamasa Shimada, En. Ryo Kenpuku adalah imigran dari Taichung sebelum zaman perang bermula dan telah membina asas industri nanas di Yaeyama.
Sebagai keturunan imigran Taiwan, En Nagamasa lahir dan membesar di Pulau Ishigaki bersusah-payah dalam keadaan tanpa kenegaraan dan akhirnya berjaya mendapat kerakyatan Jepun. Selepas itu, En. Nagamasa memanfaatkan hubungan beliau dengan Taiwan untuk membawa masuk teknik pertanian yang canggih dan berjasa besar dalam kemajuan penanaman buah-buahan di Yaeyama.