Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Kehidupan Saya Selepas Perang di Taira

En. Tokujiro Shimabukuro

Tarikh Lahir:1936

Tempat Lahir:Bandar Nago

Berhijrah ke Okinawa – kampung halaman ayah saya

Pada separuh kedua tahun 1943, dengan menaiki kapal yang dipanggil Kotobukimaru,kami belayar selama sehari semalam dari Tokunoshima di Kagoshima ke Pelabuhan Motobu di Okinawa. Oleh kerana Oyakawa (di Kampung Haneji) mempunyai persekitaran yang baik serta mengeluarkan beras yang sedap, kami membuat keputusan untuk berhijrah ke Okinawa – kampung halaman ayah saya. Kami datang ke Okinawa lima beranak – ayah, ibu, kakak, saya dan adik perempuan.

Kehidupan di Haneji dan Perang Okinawa

Demi meneruskan kehidupan, kami terpaksa menanam padi. Sebagai permulaan, daripada tanah sawah yang luasnya sekitar 3,310 meter persegi itu, kami cuba menanam padi seluas sekitar 662 meter persegi. Kerja penananaman padi kami lakukan pada waktu malam. Pada siang hari, kami lakukan kerja-kerja lain seperti menggali kubu serangan udara. Kemudiannya kami berpindah dari Oyakawa ke Petempatan Taira. Oleh kerana kami tiada rumah sendiri, kami telah menyewa sebuah tempat yang dipanggil ‘Kinjo Shoten’ (Kedai Kinjo), untuk tinggal lima beranak di situ. Di situ kami meneruskan kehidupan dengan membantu membuat kamaboko – pes ikan serta menjual ikan.

Kubu serangan udara di petempatan digali mengikut kumpulan bermula daripada Kumpulan 1. Di Taira terdapat banyak kubu serangan udara. Dalam radius 1 kilometer dari sini terdapat enam kubu. Namun begitu, bukan mudah untuk masuk ke dalam kubu serangan udara. Jika tidak cepat-cepat bergegas ke kubu, kita tidak akan boleh masuk. Kita perlukan lebih banyak kubu serangan udara.Terdapat satu kubu serangan udara di sebelah rumah di mana kami tinggal. Di dalam kubu tersebut, semasa anak-anak kecil menangis, ada juga orang yang tanpa belas kasihan menyuruh menutup mulut anak-anak kecil itu. Oleh kerana belum sampai setahun lagi keluarga kami datang daripada Tokunoshima, orang-orang yang berlindung di situ tidak begitu tahu sangat tentang kami.

Jadi kami lima beranak telah pergi berlindung ke pondok membuat arang di atas gunung. Kami berada di pondok membuat arang sehari semalam. Tetapi oleh kerana tentera AS datang menyerang kawasan pergunungan itu, kami berpindah ke kawasan yang lebih tinggi. Kami berpindah randah untuk berlindung di beberapa tempat. Kami rasa adalah lebih baik berlindung bersama orang lain, jadi kami berlindung bersama lebih kurang 5 buah keluarga. Keluarga yang paling ramai mempunyai ahli keluarga hingga 10 orang. Tentera AS sering membuat hebahan melalui alat pembesar suara. Oleh kerana keadaan yang merbahaya, kami berbincang bersama dan memutuskan untuk bergerak bersama dan juga berkongsi bahan makanan dan lain-lain. Kami bernasib baik kerana terjumpa tempat berlindung yang baik. La adalah sebuah rumah milik seorang pembekal bahan-bahan pembuatan kapal. Rumah tersebut mempunyai ruang kediaman serta bangsal yang sangat cantik. Jadi kami semua berlindung di situ. Di rumah tersebut, kami dibenarkan bekerja dan diberikan bahan-bahan makanan seperti beras dan ubi keledek.

Ayah saya juga bekerja memunggah tayar serta membantu kerja-kerja di ladang. Berbekalkan kemahiran yang diperolehi melalui pengamatan selama ini, dapatlah kami meneruskan kehidupan seadanya. Saya merasakan yang tak akan ada tempat lain yang sebaik ini. Ayah saya ditahan tentera AS Suatu masa, ada segerombolan tentera AS yang baru selesai menyerang Gunung Tanodake telah lalu di depan tempat kami berlindung. 3 orang tentera AS menyuruh ayah saya berdiri, membuat pemeriksaan badan, lalu membawa dia pergi. Kalau tak silap, kejadian itu berlaku pada bulan Jun 1945.

Oleh kerana kehidupan sebagai pelarian di Petempatan Okawa, Kampung Haneji amat memeritkan, sekali lagi kami bersama 3 keluarga lain telah memulakan kehidupan sebagai pelarian di atas gunung. Di sana makanan pun tiada. Kami telah memeram batang sagu dan memakannya. Makanan paling enak adalah pokok daun perak Jepun. Kami memang biasa memakannya sebelum menjadi pelarian lagi. Kami tidak punya beras atau apa-apa selain hanya sedikit lemak khinzir. Kami mengutip kulit serta telapuk daripada kuda yang telah diproses, kemudian meminta ahli keluarga yang sama-sama berlindung memasaknya. Oleh kerana bangsal tempat berlindung dibina secara ala kadar, atapnya akan bocor jika hujan turun. Kami terpaksa selalu membaiki bangsal tempat berlindung untuk meneruskan kehidupan. Tentera AS datang juga ke sana. Abang-abang senior yang keluar mencari bahan makanan telah dibunuh oleh mereka. Kami tanam mayat-mayat abang senior dan menutupnya dengan daun-daun kayu.

Pada masa itu, ayah saya yang terkenal dengan tubuhnya yang gagah serta sihat telah dibogelkan dan diperiksa badannya oleh tentera AS. Selepas itu dia dibawa pergi sebagai seorang tahanan. Keperitan untuk meneruskan kehidupan sebagai pelarian di pergunungan, dan juga demi untuk mendapatkan maklumat tentang ayah saya (yang menjadi tahanan), saya telah turun daripada gunung ke petempatan. Pada masa itu, barang-barang saya telah dirampas.

Pergi ke kem buruh untuk bertemu ayah saya

2 orang kakak yang bekerja sebagai kerani di kem buruh telah memberi maklumat tentang tempat berlindung yang baru serta tentang ayah saya. Mereka sedang menyiapkan tempat tinggal di rumah Tuan Niijima di Petempatan Kawakami, dan meminta kami untuk segera turun daripada gunung. Di sebalik itu, ada juga terdengar cerita yang melarang keras untuk turun daripada gunung. Katanya, jika turun daripada gunung, kita akan dibunuh oleh tentera Jepun (kerana akan dituduh sebagai pengintip). Tetapi, oleh kerana saya diberitahu yang ayah saya hidup dengan sihat di kem buruh, kami pun turun daripada gunung. Tempat kediaman baru itu bukanlah bangsal tempat berlindung; ia adalah rumah yang cantik, yang tidak bocor walaupun hujan. Kami tinggal di situ 4 beranak (tanpa ayah yang berada di kem buruh) Kemudian, kakak-kakak tersebut telah mengajak kami untuk pergi bersama mereka pada hari Sabtu setiap minggu. Jadi, setiap minggu kami pergi ke kem buruh tempat ayah ditahan.

Apabila melawat ayah (yang bertugas dalam kumpulan masakan), dia akan memberikan kami makanan. Di dalam kem buruh, onigiri memang banyak hingga berlebihan. Selain itu, ayah juga berkongsi bahan mentah untuk miso yang telah dijemur kering, gula, garam dan lain-lain lagi. Kami juga diberikan serbuk aiskrim, kudapan dan sebagainya. Saya rasa bagaikan langit dengan bumi jika dibandingkan dengan kehidupan sebagai pelarian di pergunungan. Sekeliling kem buruh itu dipagari dengan jaring besi, dan dikawal dengan ketat. Peta Kemudahan Bandar Taira (Sumber: Taira Shi) Oleh sebab itulah kami pergi melawat dengan ditemani oleh kakak-kakak kerani tersebut. Ada suatu hari, seorang telah dibunuh berhampiran laluan, dalam keadaan memegang rokok serta kudapan. Saya berasa kasihan, lalu cuba untuk menyelak kain yang menutupi mayat itu untuk melihat keadaannya. Saya telah dihalang oleh kakak tersebut sambil memberitahu yang tentera AS sedang memerhatikan dari menara pengawal. Ada beberapa kejadian di mana tentera AS menembak mati orang yang menyelinap masuk ke kem buruh.

Saya sentiasa rasa tidak sabar untuk berjumpa dengan ayah di kem tersebut. Oleh kerana itu, walaupun sebagai seorang kanak-kanak, saya amat bersyukur jika dibandingkan dengan kehidupan sebagai pelarian di pergunungan. Kehidupan sebegitu berterusan sejak turun daripada gunung pada bulan Jun hinggalah ke bulan Januari tahun berikutnya. Tetapi kemudian, ayah saya telah dijangkiti malaria. Pada ketika itu, hampir setiap hari ada mayat mangsa malaria diangkut dengan troli yang ditarik basikal untuk dikebumikan. Sama seperti mayat-mayat lain, mayat pelarian wilayah tengah selatan juga dikebumikan. Oleh kerana ayah saya telah dijangkiti malaria,
dia dikembalikan ke petempatan dari kem buruh. Oleh kerana badannya amat panas, kami menggunakan air telaga yang dingin – bukan air biasa, untuk menjirus dahinya secara berterusan menggunakan timba yang ditebuk lubang kecil. Namun begitu, demamnya tidak juga mereda, hinggakan tidak dapat diukur dengan termometer. Kemudian badannya menggigil dengan begitu kuat sekali. Walaupun dipegang oleh 2 orang lelaki, kegigilannya masih tidak dapat dibendung. Akhirnya, ayah saya meninggal dunia akibat demam panas yang berpunca daripada malaria. Oleh kerana ayah telah tiada, kami terpaksa kembali ke Petempatan Taira.

Kembali ke Taira selepas kematian ayah

Kehidupan setelah kembali ke Taira adalah sukar. Kami bina bangsal menggunakan khemah untuk tinggal. Keadaan amat sukar apabila ribut melanda.Keluarga kami hidup di dalam khemah yang dipasang di laluan keluar masuk ke kandang kuda. Kandang kuda juga didiami oleh pelarian daripada Naha dan Chatan. Ada ramai pelarian di Petempatan Taira. Setiap rumah didiami oleh lebih daripada satu keluarga. Kami terlalu risau tentang kebuluran hinggakan terlupa tentang kesunyian akibat kematian ayah.

Dengan memanfaatkan kemahiran yang diperolehinya dahulu, ibu saya membeli ikan untuk membuat kamaboko; dan juga menjual semula ikan untuk mencari keuntungan sebanyak mungkin. Dia bekerja bertungkus lumus. Ibu berusaha bersungguh-sungguh supaya anak-anaknya tidak kebuluran. Apabila ada tempahan untuk tauhu, saya juga turut membantu ibu. Dalam pembuatan kamaboko, saya tolong pusingkan mesin untuk mengisar ikan. Setelah hampir 2 tahun menjalani kehidupan di dalam kediaman yang dipasang dengan khemah, kami menyewa sebuah rumah yang berhampiran dengan Sekolah Rendah Haneji sekarang. Di situ juga saya meneruskan kehidupan sambil membantu ibu. Semasa ada upacara tertentu, kami akan menerima banyak tempahan. Ini akan membuatkan kerja kami menjadi sibuk. Kami tetap membeli bekalan ikan daripada nelayan Kampung Higashi dan Nago walau kerugian sekalipun. Kami sendiri juga ada membuat tauhu dan kamaboko, sambil-sambil membantu ibu. Untuk itu, kami perlukan kayu api. Pada hari tiada persekolahan, sekali pada hari Sabtu, dan dua kali pada hari Ahad, kami akan panjat ke puncak gunung yang sekarang ini menjadi Empangan Haneji, untuk mencari kayu api. Pada waktu itu, mana-mana keluarga pun semuanya sama. Itu telah menjadi tugas anak-anak. Untuk membuat tauhu, air laut yang baik adalah diperlukan. Ia dipanggil ‘shio kumi’ (menimba air laut). Ini juga menjadi tugas anak-anak.

Agak sukar untuk berterusan menjalani kehidupan di bilik sewa. jadi kami telah bertukar tanah supaya boleh bina rumah sendiri. Pertukaran itu melibatkan tanah kelas istimewa kami yang seluas 331 meter persegi dengan tanah kelas ketiga mereka yang seluas 993 meter persegi. Persetujuan dicapai kerana kedua-dua lot tanah adalah sawah padi. Kemudiannya kami bina rumah beratap jerami. Untuk memperoleh lebih banyak pendapatan, kami memulakan penternakan khinzir kerana sisa-sisa daripada pembuatan tauhu dan kamaboko boleh dijadikan makanan untuk khinzir. Kami minta bantuan senior-senior untuk bekalkan khinzir, lalu dapatlah kami ternak sebanyak lima ekor.

Ada suatu ketika, ada seorang yang bekerja dalam skuad dobi untuk tentera AS telah membawa pulang suatu serbuk putih. Ia diambil daripada sebuah bekas yang tertulis “serbuk penaik”, tapi isinya telah ditukar lain. Serbuk itu telah digunakan untuk membuat sata-andagi (tempura gula). Oleh kerana adunan tidak naik walaupun serbuk penaik telah dimasukkan, maka ditambah lagi dua tiga sukatan. Selepas itulah terjadi suatu tragedi. Mereka yang makan tempura dengan satu sukatan serbuk masih sihat lagi hingga sekarang. Mereka yang makan tempura dengan dua sukatan serbuk telah mengalami gejala seperti keguguran rambut. Mereka yang makan tempura dengan tiga sukatan serbuk telah meninggal dunia sejurus selepas memakannya. Mayat-mayat mereka telah dikebumikan dalam satu barisan. Mereka meninggal dunia akibat “keracunan tempura”. Oleh kerana individu tadi bekerja dalam skuad dobi, dia telah membawa tempura gula tersebut ke pangkalan tentera AS juga. Tentera Amerika yang memakannya juga turut meninggal dunia. Punca kematian telah dikatakan sebagai “keracunan tempura”. Saya rasa dia telah tersalah ambil racun serangga atau serbuk pinjal semasa hendak mengambil serbuk penaik. Kemudian, serbuk itu telah tersalah digunakan untuk membuat kuih tersebut. Itulah yang menjadi punca sebenar.

Lahirnya Bandar Taira

Sejurus selepas perang tamat, pejabat penyeliaan personel telah diwujudkan di Taira. Apabila menerima arahan daripada tentera AS tentang bilangan pekerja yang diperlukan untuk tugas ketenteraan, pejabat penyeliaan personel akan membahagi-bahagikan tugasan ketenteraan tersebut. Di samping itu, diwujudkan juga polis awam yang dilantik oleh tentera AS, yang dipanggil “CP”. Apabila ada orang-orang yang membawa barang-barang semasa hendak mencari perlindungan (di gunung, dsb.), CP akan merampas barang-barang tersebut untuk menghalang mereka daripada mencari perlindungan di pergunungan. Kemudian, apabila orang berhenti berpindah ke pergunungan, mereka mula melarang orang keluar pada waktu malam. Apabila kami berjalan keluar untuk pergi ke rumah saudara, kami dilarang untuk pergi kerana hari sudah petang.

Balai polis serta pejabat penyeliaan personel diwujudkan di Petempatan Taira. Manakala pejabat daerah di dalam Petempatan Oyakawa. Di dalam Kem Taira
yang menempatkan pelarian-pelarian, terdapat hampir 60,000 orang jika dikira sekali dengan mereka yang berada di petempatan sekitarnya. Pada waktu itu, kawasan kediaman yang menjadi tumpuan adalah Kampung Haneji di Taira. Oleh kerana terdapat sawah padi serta bahan makanan, ia telah menjadi tempat berlindung kepada pelarian dari wilayah tengah selatan. Mereka membina rumah beratapkan jerami untuk memulakan kehidupan selepas dipindahkan keluar dari kem penempatan orang awam. Pelarian dari wilayah tengah selatan telah berpindah masuk ke rumah-rumah kosong dalam petempatan tersebut. Jadi, pemilik rumah tidak dapat memasuki rumah yang sepatutnya kepunyaan mereka. Mereka terpaksalah meneruskan kehidupan dengan menyewa bangsal ataupun kawasan kosong di petempatan lain. Rumah sendiri, tetapi tidak boleh masuk ke dalamnya. Begitulah keadaan pada masa itu. Pelarian menegaskan yang mereka menerima rumah serta bahan makanan semuanya dari Tentera Amerika Syarikat. Apabila diminta untuk memulangkan rumah serta bahan makanan, mereka mengugut untuk melaporkan kepada CP dan Jabatan Penyeliaan Personel. Ada juga sesetengah pemilik rumah telah meminta penghuni memulangkan sekurang-kurangnya ruang yang menempatkan altar penganut Buddha; jika tidak, mereka mengugut untuk memusnahkan keseluruhan rumah tersebut. Hasilnya, penghuni telah mengosongkan ichibanza (bilik tamu). Jadi, bolehlah pemilik rumah tinggal di situ. Oleh kerana bangunan-bangunan di Naha dan wilayah tengah selatan telah musnah akibat perang, jadi pelarian dari wilayah itu telah mencuri semua lantai, pintu dan kelengkapan semasa mereka hendak kembali ke kampung asal. Ini telah menyebabkan wujudnya banyak rumah kosong yang terbiar di Taira.

Mesej kepada Golongan Muda

Perang tidak harus lagi berlaku sama sekali. Ketika ini pun, ada pelbagai masalah; di luar negara pun, perang berlaku tanpa kesudahan. Kanak-kanak yang tiada kaitan dengan konflik turut menjadi mangsa. Mesej saya – Peperangan adalah suatu yang anda semua jangan sekali-kali lakukannya.


En. Tokujiro Shimabukuro telah berkhidmat selama lebih kurang 33 tahun dalam Kesatuan Pertubuhan Pertanian Wilayah Okinawa Selepas bersara, beliau menyumbang bakti sebagai penasihat keselamatan trafik komuniti selama beberapa tahun.

Di atas sumbangan bakti itu, beliau telah menerima anugerah daripada Persatuan Keselamatan Trafik Okinawa pada tahun 2017. Beliau juga turut menyumbang tenaga dalam pembentukan jaringan setempat, dengan bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarang untuk ‘Taira Shi’ – penerbitan yang merekodkan sejarah masyarakat Taira.