Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Tahun-tahun Saya Selepas Perang sebagai Pendidik: Menerapkan Idea Baharu

En. Touroku Oshiro

Tarikh Lahir:1930

Tempat Lahir:Bandar Itoman

Pendidikan sebelum perang

Perang Okinawa telah bermula semasa saya berumur 15 tahun dalam gred kedua kursus peringkat tinggi sekolah kebangsaan. Pada tahun 1941, sekolah rendah biasa peringkat tinggi menjadi sekolah kebangsaan. Sekolah kebangsaan mempunyai 6 tahun kursus asas dan 2 tahun kursus peringkat tinggi. Hanya pemohon boleh meneruskan pengajian ke kursus lebih tinggi. Mereka yang tidak melanjutkan pengajian ke kursus lebih tinggi telah pergi ke Sekolah Pemuda. Sekolah-sekolah ini mempunyai kursus persediaan dan kanak-kanak yang tidak mengambil kursus lebih tinggi bagi sekolah kebangsaan telah pergi ke Sekolah Pemuda dari jam 2 atau 3 petang. Guru-guru di Sekolah Pemuda telah mengambil alih latihan kumpulan untuk kursus peringkat tinggi di sekolah kebangsaan. Pada waktu itu, ada beberapa orang guru yang terselamat daripada perang dan pelajar kursus asas turut menjalani latihan ini. Para pelajar diajar cara untuk melakukan pergerakan tentera seperti berdiri memberikan perhatian, memberikan tabik hormat dan membuat pusing ke kanan.

Pada waktu itu ada “ujian kekuatan fizikal”. Para pelajar daripada gred ke-5 kursus asas hingga kursus peringkat tinggi mempunyai buku kecil pensijilan. Terdapat 3 penilaian: tahap asas, sederhana dan tinggi. Kami mengukur kelajuan kami dengan larian 50 meter dan kami diminta berlari bawah jumlah saat tertentu. Kami mengira jumlah senaman pull up yang dapat kami lakukan dan melakukan lompat tinggi dan jauh. Lontaran grenad dipanggil “balingan kayu,” dan melibatkan lontaran kayu oak
yang panjangnya lebih kurang 30 sentimeter. Berkenaan balingan kayu, guru-guru kami menyuruh kami berusaha lebih gigih untuk mencapai tahap maju. Perkara yang seronok bagi saya ialah membuat pesawat model. Sehingga sekitar tahun 1944, pelbagai pertandingan pesawat model telah diadakan. Kami menerbangkan pesawat udara model berdekatan lapangan terbang dan bersaing dengan mengukur tempoh penerbangan. Bagi pelajar gred ketiga dan ke atas, pelajar gred nombor ganjil telah memasang kipas dan pelajar gred nombor genap telah membuat model peluncur. Kami pelajar yang lebih tua telah diajar fungsi sayap utama, ekor mendatar dan ekor menegak serta cara pesawat boleh terbang. Saya masih ingat dimarahi oleh ayah saya semasa dia nampak saya membaling pesawat model saya dan bukannya membantu memotong rumput.

Anda tahu Hima (kacang kastor)? Pihak sekolah telah memberi kami 3 biji benih kacang kastor untuk digunakan sebagai minyak pelincir untuk mesin dan kami diminta untuk membawanya ke sekolah apabila tanaman telah besar. Itulah yang kami pelajari di sekolah. Kami juga diminta membuat sendiri “kebun 1-tsubo (3.18 meter persegi)” dan bukannya menanamnya di kebun ibu bapa kami. Semasa perang, pelajar terpaksa bekerja pada hujung minggu. Kami melawat keluarga askar Jepun yang meninggalkan keluarga kerana perang dan kami mengeluarkan air dari perigi, menggali ubi keledek, memotong rumput, mencuci dan menghantar beg yang selesa kepada askar yang disertakan mesej atau lukisan. Kadang-kadang kami mendapat balasan daripada askar yang bekerja di medan perang sehingga membuatkan kami sangat gembira.

Bersedia untuk pertempuran (darat)

Sekitar bulan Jun 1944, sebelum perang Okinawa bermula, askar Jepun telah datang ke sekolah kami dari Manchuria dan mula membina kedudukan. Kemudian, pembinaan kem pun bermula. Kami memotong rumput untuk meratakan tanah bagi membina berek dan membina cenuram untuk kereta kebal. Untuk melakukannya, kami telah membina tebing supaya apabila kereta kenal musuh menyerang kedudukan kami, kami boleh meramal laluan pergerakan mereka dan menghalang mereka daripada menembusi kubu kami. Kami membuat dinding batu, menggali tanah di hadapan dan membuat dinding batu di belakang, yang lebih kurang tiga meter tingginya. Kami membuat dinding ini untuk mengepung kedudukan itu.

Kami telah dipaksa menggali tempat perlindungan di rumah. Kami menggali lubang sedalam satu meter dan meletakkan dahan pokok dan buluh lalu menutup semuanya dengan kotoran. Kemudian, kami telah dipaksa untuk menggali lubang yang sangat besar, cukup besar untuk memuatkan semua pelajar gred satu di halaman sekolah. Latihan pertahanan udara juga dilakukan. Kami membawa air kolam ke bumbung bangunan sekolah menggunakan baldi bergilir-gilir manakala guru dan pelajar kursus peringkat tinggi memadamkan api.

Perang Okinawa bermula

Saya tidak memiliki diploma tamat belajar. Majlis tamat belajar telah dijadualkan pada 24 Mac 1945, tetapi itu cuma sehari sebelum Perang Okinawa bermula. Jadi, kami tidak dapat mengadakan majlis itu. Saya merupakan lepasan sekolah kebangsaan yang tidak mempunyai sijil tamat belajar. (Perang Okinawa bermula) Pada 23 Mac, amaran serangan udara telah dikeluarkan. Bilangan pesawat yang berterbangan di udara telah meningkat semasa saya dan kakak saya dalam perjalanan ke tempat perlindungan (gua). Apabila saya memandang ke arah pantai Komesu, selatan Bandar Itoman, saya nampak debu berterbangan di udara kerana letupan bom, jadi kami meluru masuk ke tempat perlindungan. Serangan pesawat udara A.S. tidak dilakukan pada awal pagi. Jadi, kami meninggalkan tempat perlindungan selepas subuh dan mengambil sedikit ubi keledek di kebun lalu membawanya pulang ke tempat perlindungan. Kami juga membawa sedikit air. Orang muda seperti kami melakukan semuanya secara bekerjasama. Orang tua tinggal di tempat perlindungan, tetapi mereka yang sihat telah meninggalkan tempat perlindungan itu dan pulang ke rumah mereka. Pada awal bulan Mei, memandangkan beberapa rumah masih kekal utuh, sesetengah daripada mereka akan berehat di luar tempat perlindungan atau kadang-kadang bermalam di rumah dan lain-lain langsung tidak kembali ke tempat perlindungan. Kemudian, perang beransur-ansur memuncak.

Pada 20 Mei, ayah saya meninggal dunia akibat serangan mortar tentera A.S. di Untamamui berdekatan Shuri. Itulah sebabnya saya boleh ingat perkara yang telah berlaku sekitar 20 Mei. Pada waktu itu, ketua kor yang sentiasa berjaga-jaga dan pegawai bawahan Tentera Jepun telah pergi dari gua ke gua untuk memujuk kami dengan berkata, “Kami pasti akan menang peperangan ini.” “Untuk menang peperangan ini, sila dengar kata-kata kami dan ikut arahan kami.” “Semua orang, sila berpindah ke tempat yang selamat dalam masa 2 hingga 3 hari.” Selepas 2 hingga 3 hari, mereka berkata “Keluar dari sini sekarang! Tinggalkan tempat ini hari ini!” dan kami dihalau keluar dari tempat perlindungan itu. Mereka cuma berkata, “Askar Jepun akan datang ke sini dari Shuri, Bandar Naha untuk melindungi kamu dan negara,” “Semua orang pergi ke tempat selamat.” Tetapi, mereka tidak menunjukkan kepada kami tempat selamat itu.

Perang semakin memuncak dan bilangan kematian meningkat. Kemudian, orang paling tua di kalangan saudara saya berkata kepada kami, “Kita kehilangan ahli keluarga setiap hari kerana perang ini” “Mati bersama di kawasan kubur kita adalah lebih baik daripada terpisah dan mati di tempat yang tidak diketahui.” Jadi, dia memanggil saudara maranya bersama dan 30 atau lebih saudara mara berkumpul di kawasan kubur. Orang yang kuat secara fizikal seperti saya duduk di depan kawasan kubur manakala orang tua dan kanak-kanak kecil duduk di belakang kawasan kubur. Kawasan kubur itu agak lama dan dibuat dengan menggali lubang dalam batu besar dan batu diletakkan bertimbun di pintu masuk. Bedilan meriam mengenai batu yang bertimbun itu, menerbangkan batu dan serpihannya. Hampir separuh daripada 30 orang dalam kubur itu mati. Baki separuhnya tercedera dan tiada sesiapa yang tidak tercedera. Anda boleh lihat parut besar di paha kiri saya kesan kejadian itu.

Menyerah diri dan dijadikan tawanan

Sejak 19 Jun, tentera A.S. membuat pengumuman menggunakan pembesar suara dari puncak gunung Maehira, Itoman dengan berkata, “Sila serah diri kepada kami. Jika kamu tinggalkan tempat perlindungan, kamu akan selamat. Jangan risau tentang pakaian kamu, makanan dan tempat tinggal.” Pada 23 Jun, saya dan dua orang lelaki muda meninggalkan tempat perlindungan kami untuk pergi ke Yanbaru. Mereka yang tidak mampu menggunakan bom tangan telah kekal berada di dalam gua. Ketika itulah askar Amerika melontar kartrij fosforus putih ke dalam tempat perlindungan. Mereka yang masih berada di dalam gua menjadi tawanan dan dibawa pergi oleh tentera A.S. Pada keesokan harinya, kami diberitahu oleh orang yang pulang dari Hawaii, bahawa kami harus menjadi tawanan kerana tentera A.S. tidak akan melayan kami dengan begitu teruk. Semua orang mengangkat tangan dan menyerah diri.

Kami berkumpul di dataran belakang utaki (tempat suci) kampung itu dan menaiki trak tentera A.S., dan turun di Inamine, Ozato. Kami diberitahu jika kami boleh berjalan, kami harus berjalan ke Yabiku, Chinen. Apabila kami sampai di sana, hari sudah petang dan ada banyak khemah. Kami menaiki Kapal Pendarat Kereta Kebal (LST) A.S. di Pelabuhan Baten dan turun di Ourazaki, Nago.

Kem orang awam di Futami, Nago

Hampir 1,000 orang telah ditahan di kem orang awam. Setiap ketua kampung bekerja sebagai individu yang bertanggungjawab. Di kem penjara di Futami, khemah telah diberikan kepada setiap kampung dan lebih kurang 30 orang daripada 5-6 isi rumah di kampung Maehira tinggal bersama di sana. Hubungan kami baik dengan semua orang jadi keadaan ini sangat berguna bagi kami. Kanak-kanak cepat berkawan dan ibu bapa kami saling membantu. Pada waktu itu, Sekolah Tinggi Sedake telah dibina di Bandar Nago. Rakan sekelas saya mengajak saya pergi ke sekolah bersama, tetapi saya menolak tawaran itu. Saya terpaksa menjaga adik-adik perempuan saya dan nenek. Catuan makanan daripada tentera A.S. tidak cukup untuk kami.

Saya perlu mencari makanan dan saya tidak dapat pergi ke sekolah. Kemudian, penyakit malaria pula merebak. Nenek saya yang sihat telah dijangkiti malaria dan mengalami demam panas, kemudian dia meninggal dunia dalam masa lebih kurang 2 hari.

Kebanyakan makanan adalah jagung. Saya ingat itu makanan haiwan. Jagungnya sangat keras sehingga separuh daripadanya tidak boleh dimakan walaupun telah direneh sepanjang hari. Kami mencuri topi askar A.S. dan mengetuk jagung menggunakan helmet itu seperti batu lesung dan kemudian, memasak bubur menggunakannya. Kanak-kanak sering sakit perut kerana ketidakcernaan. Kami tidak mampu menyediakan makanan yang mencukupi, jadi kami rasa tidak bersalah untuk mencuri apa-apa sahaja daripada kemudahan tentera A.S. selagi tiada sesiapa yang tahu. Kami telah pergi ke jalan raya Nago dan mengutip pelbagai benda, lebih baik daripada mencurinya. Kami juga pergi ke laut dan mengambil rumpai laut untuk dijadikan makanan. Di gunung, kami mengambil daun mulberi dan anak pokok yang lembut lalu memakannya. Kami makan apa-apa sahaja yang lembut, walau rumput sekali pun.

Katak paling berkesan untuk mendapatkan tenaga. Bijirin catuan makanan sangat keras sehingga menyebabkan ketidakcernaan dan sakit perut. Agaknya ramai orang yang terselamat dengan memakan katak. Kami tinggal di Futami selama lebih kurang setahun setengah.

Kehidupan di Nashiro

Kemudian, saya berpindah ke tapak perumahan tentera A.S. yang terletak di Nashiro, Bandar Itoman. Terdapat juga perumahan tentera yang diperbuat daripada papan, Quonset yang besar (perumahan tentera A.S. berbentuk seperti kamaboko) dan khemah. Memandangkan penduduk dari lima kawasan perbandaran iaitu Takamine, Itoman, Makabe, Komesu, dan Kyan berkumpul di sana, keadaan menjadi sangat sesak. Penduduk lelaki diletakkan dalam kumpulan pembinaan dan penduduk perempuan diletakkan dalam kumpulan hal ehwal pertanian. Di setiap kampung, kami telah meletakkan individu yang bertanggungjawab.

Kami tinggal di kem penjara di Nashiro untuk Tahun Baru 1946 dan kemudian, kami menghabiskan masa setahun setengah membina perumahan standard bersaiz dua kali empat (2 x 4).

Kami bekerja keras supaya kami dapat membina rumah yang cantik dan menuai tanaman. Kadang-kadang semua penduduk kampung telah diarahkan supaya membuat kerja pembersihan. Kerja pertama saya ialah mengutip sisa mayat. Pertama sekali, saya mengutip sisa mayat di dalam rumah kediaman dan kemudian, sisa rangka di jalan raya dan longkang, kemudian saya meletakkan sisa mayat itu di tempat perlindungan berdekatan kampung.

Memasuki sekolah tinggi Itoman

Sejurus selepas saya berpindah dari Futami ke Nashiro, terdapat pengambilan pelajar untuk Sekolah Tinggi Itoman. Sekolah itu dibuka pada 16 Januari 1946. Sekolah itu berkata mereka yang belajar di sekolah menengah rendah sebelum Perang Okinawa harus memaklumkannya kepada Sekolah Tinggi Itoman. Saya telah menghadiri majlis kemasukannya. Ada ramai pelajar di Sekolah Tinggi Itoman. Ada pelajar yang datang dari Tomigusuku, Oroku dan Kanegusuku (Itoman). Saya merupakan kelas ke-4 yang tamat belajar di Sekolah Tinggi Itoman dan ada 3 kelas dalam gred saya. Sekolah Tinggi Itoman terletak berdekatan pekan. Kebun ditutup dan digunakan untuk dataran sekolah. Bangunan sekolah ialah bangunan berkhemah, tetapi telah disediakan dengan cepat.

Terdapat beberapa item yang tidak digunakan di tempat pelupusan sampah tentera A.S. Alat tulis yang tidak mencukupi seperti pen, pensel dan kertas dibawa dengan mengambilnya. Para pelajar aktif melakukan aktiviti kelab manakala pasukan besbol dan bola keranjang mereka kuat. Walau bagaimanapun, keluarga saya sukar untuk mencari makanan, jadi saya telah pergi terus ke kebun selepas pulang dari sekolah untuk membantu ibu bapa bekerja di kebun. Jika saya tidak berbuat begitu, saya tidak akan dibenarkan untuk belajar di sekolah. Pihak sekolah telah menyewa ladang lebih kurang 4 km jaraknya dari rumah kami dan kami menanam ubi keledek. Ia sekolah tinggi biasa, tetapi pelajarnya serius terlibat dalam pertanian. Asrama sekolah adalah yang terbesar di Okinawa pada waktu itu. Kapal-kapal pula berlayar antara Pulau Kume, Kerama, Yaeyama dan Itoman, jadi lebih ramai pelajar yang belajar di Sekolah Tinggi Itoman berbanding Sekolah Tinggi Naha.

Terdapat kekurangan guru di Itoman. Memandangkan saya telah diterima masuk ke sekolah perguruan sebelum perang dan ada sedikit guru dari kawasan saya, saya sentiasa bersemangat untuk menjadi seorang guru. Oleh itu, saya telah membuat keputusan untuk belajar di Sekolah Bunkyo di Taba, Gushikawa.

Memasuki sekolah Bunkyo

Saya seronok tinggal di asrama dan di dalam khemah. Ramai pelajar dari Pulau Amami Oshima, Miyako, Yaeyama, kepulauan terpencil berdekatan Pulau Okinawa dan pelajar lain dari Nakagami berkumpul di asrama. Terdapat 6-8 orang dalam setiap khemah. Kami saling membantu seperti keluarga sebenar dan bekerjasama untuk mencuci pakaian dan mengeluarkan air dari perigi. Saya berhenti melakukan kerja tentera kerana saya tidak akan melakukan apa-apa selain bekerja sebagai guru selepas tamat belajar. Tetapi, gaji kerja tentera berganda-ganda lebih tinggi berbanding gaji guru. Gaji bulanan guru ialah 920 yen dalam B yen (mata wang tentera A.S.), sedangkan gaji bulanan kerja tentera ialah beberapa ribu yen. Apabila saya menyerahkan permohonan saya, saya telah ditugaskan ke sekolah rendah. Terdapat kekurangan guru sekolah menengah rendah dan mereka memerlukan guru dari Maehira, jadi saya pun ditugaskan ke Sekolah Menengah Rendah Miwa.

Ditugaskan ke sekolah menengah rendah Miwa

Saya bertengkar dengan pelajar sekolah menengah rendah hampir setiap hari. Guru yang lebih muda dipaksa mengajar pelbagai subjek. Saya telah ditugaskan untuk mengajar pendidikan fizikal, sains, matematik dan pengajian sosial. Guru yang lebih berusia bekerja keras mengajar satu subjek. “Kamu guru muda yang tamat belajar dari sekolah selepas perang adalah lebih sesuai untuk pelajar, memandangkan umur kamu tidak jauh beza” Itulah yang diberitahu kepada saya oleh guru senior saya. Ada 6 buku teks sains untuk gred pertama sekolah menengah rendah. Guru muda mengajar subjek yang rumit.

Saya hanya mempunyai lesen mengajar sekolah rendah dan perlu mendapatkan lesen untuk sekolah menengah rendah, tetapi ia bukan mudah. Kursus di Universiti Ryukyus tidak cukup. Ada 4 jenis sijil mengajar: sijil percubaan, sijil sementara, Gred 2 dan Gred 1. Semua orang bertungkus-lumus untuk mendapatkan sijil mengajar mereka. Guru perempuan terutamanya yang mengalami kesukaran. Mereka terpaksa membawa anak mereka bersama semasa mereka mengambil kursus untuk mendapatkan sijil mengajar. Di Itoman, sesetengah kursus diajar dalam musim panas. Perkara ini berlaku selama beberapa tahun. Ada kursus malam di Bandar Naha, tetapi hal itu menjadi halangan untuk hadir secara tetap dan berulang-alik dari Bandar Itoman. Apabila gred sijil mengajar meningkat naik, gaji juga naik. Jadi, bilangan guru yang mendapatkan sijil mengajar melalui pendidikan yang sepadan untuk menyara keluarga mereka telah meningkat. Saya mendapatkan sijil mengajar saya melalui
pendidikan yang sepadan.

Pelajar sekolah menengah rendah pada waktu itu semuanya kanak-kanak yang baik dan jujur. Dalam masa beberapa tahun, beberapa orang pelajar mula kerap tidak hadir. Kerap tidak hadir merujuk kepada pelajar yang tidak datang ke sekolah selama 3 bulan berturut-turut. Ini kerana masalah di rumah. Dalam sesetengah kes, ibu bapa yang menjadi punca masalahnya. Dalam kes lain, kanak-kanak itu yang bermasalah. Saya fikir guru mengalami kesukaran untuk mengendalikan kanak-kanak itu. Berkenaan bangunan sekolah, sekitar tahun 1950, bilik guru telah dibina dahulu dan kemudian, bilik darjah biasa dibina. Persatuan Ibu Bapa dan Guru telah digerakkan untuk menebang pokok chinquapin dari Gunung Meiji di Yanbaru (Okinawa utara) dan kayu balaknya telah digunakan untuk pembinaan bangunan itu. Atap jerami untuk bumbung telah dikumpulkan dari kawasan setempat. Walau bagaimanapun, tiang itu akan patah setiap kali taufan melanda.

Mesej untuk golongan muda

Saya ingin ibu bapa memandang mata anak mereka dan menggalakkan anak mereka mematuhi peraturan masyarakat dan memberitahu mereka bahawa mereka adalah sangat penting supaya mereka boleh membina masyarakat yang saling membantu. Saya berharap golongan muda akan membina masyarakat yang paling menghargai anak-anak. Golongan tua akhirnya akan meninggal dunia. Saya berharap anda golongan muda akan bekerja keras untuk membina masyarakat baharu.


En. Toroku Oshiro berkhidmat sebagai Pengetua sekolah menengah rendah dan penguasa pendidikan di Bandar Itoman, serta telah menyumbang ke arah pendidikan di Okinawa selepas perang. Selepas bersara, dia telah memberitahu orang ramai tentang realiti Perang Okinawa sebagai “pencerita.” Beliau memberikan penekanan khusus terhadap perekodan testimoni mereka yang telah melalui peperangan daripada perspektif penduduk, dan telah terlibat dalam penulisan dan penyuntingan banyak rekod testimoni, termasuk “Sejarah Wilayah Okinawa,” serta pengalaman perangnya sendiri.