Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Meredah Lautan Jauh: Kehidupan Saya Selepas Perang

En. Kinzo Sunagawa

Tarikh Lahir:1928

Tempat Lahir:Pulau Miyako

Dari Pulau Miyako ke Taiwan sewaktu perang

Saya telah dilahirkan pada tahun 1928. Rumah asal terletak berdekatan Pelabuhan Harimizu (sekarang Pelabuhan Hirara) di Pulau Miyako. Adik-beradik saya tujuh orang, saya nombor lima dan merupakan anak lelaki yang ketiga. Ayah saya bekerja sebagai pengedar ternakan yang dipanggil “Bakuro”, kerja yang jarang dijumpai. Ayah membeli lembu dan khinzir daripada pekebun di Pulau Miyako dan menjualnya di pulau utama Okinawa. Oleh itu, banyak kali ayah pergi dan pulang dari pulau utama Okinawa membawa ternakan.

Kalau tidak silap saya, ia adalah sekitar Mac 1943, di mana saya merentasi laut dari Pulau MIyako ke Bandar Keelung, Taiwan. Pada waktu itu, terdapat institusi latihan jabatan komunikasi di Taipei, Taiwan. Tujuan saya ke Keelung adalah untuk mengambil peperiksaan kemasukan ke institusi ini, tetapi saya gagal. Oleh itu, saya diperkenalkan melalui seseorang untuk bekerja di ibu pejabat pangkalan Tentera Jepun di Keelung.

Bekerja di ibu pejabat kubu Tentera Jepun di Keelung.

Di situ, saya bekerja sebagai seorang “Budak suruhan”. Kerja saya selalunya menghantar pelbagai dokumen dari ibu pejabat di Keelung di mana saya ditugaskan, ke setiap unit tentera di tempat lain. Ibu pejabat pangkalan tentera terletak di Taipei, pernah juga saya menghantar dokumen ke tempat sejauh 20 km dengan menaiki basikal. Saya seolah-olah kerja dan tinggal di sana. Termasuk saya, ada 2 orang “Budak suruhan” ditugaskan di sana. Tempat kerja kami ialah sebuah bilik besar yang juga boleh digunakan sebagai bilik makan. Kami tidur di bilik tidur yang disediakan untuk setiap kami masing-masing, tetapi kami juga ada syif menjaga telefon, jadi saya hanya tidur di bilik setiap selang sehari. Kehidupan di sana tidak boleh dibandingkan dengan ketika saya di Pulau Miyakojima.

Rupa dan suasana persekitaran bandar di Keelung sangat cantik dan tersusun. Seni bina bangunan di Taiwan selalunya mempunyai beranda. TIngkat dua bangunan dibina sehingga menutupi laluan pejalan kaki di tingkat satu. Jadi orang ramai dapat berjalan tanpa basah walaupun hujan turun. Saya berasa kagum melihat gaya seni bina ini. Sekitar peristiwa pengeboman Naha 10 Oktober 1944, Taiwan juga turut diserang pesawat Grumman A.S.

Serangan udara di Keelung.

Apabila saya nampak banyak pesawat beterbangan, saya dengan gembira naik ke atas bumbung. Pada mulanya, saya ingat yang terbang itu pesawat Tentera Jepun, tetapi secara tiba-tiba, kami terdengar bunyi letupan dari pelabuhan. Barulah kami sedar bahawa itu pesawat pejuang Grumman tentera A.S. Kami terus meluru masuk ke tempat perlindungan daripada serangan udara. Pesawat Grumman menumpukan pengeboman mereka terhadap kapal-kapal di pelabuhan. Tiada kawasan awam yang dibom. Selepas itu, pesawat bom B-29 pula datang dan mengebom tanpa mengira kawasan. Seluruh bandar hancur musnah dan terbakar.

Keelung selepas perang.

Pada 15 Ogos 1945, Maharaja Jepun Hirohito membuat pengumuman radio. Semua rakan sekerja saya keluar bangunan dan mendengar pengumuman itu. Apabila saya dengar Jepun kalah perang, saya sebenarnya lega. Waktu itu, terdapat juga pelajar menengah rendah yang dikerah melalui “panggilan pertahanan”. Semasa mereka mendengar Jepun telah kalah, mereka menangis dengan kuat. Sebaliknya, tentera-tentera Jepun di situ kelihatan lebih tenang.

Selepas, mereka yang merancang untuk pulang ke Pulau Miyako dari Taiwan, menunggu di kawasan gudang di pelabuhan Keelung yang telah dibom. bumbung gudang telahpun tiada, jadi kawasan itu sudah terbiar dan hanya tinggal konkrit. Kami tetap menunggu di situ sehingga dapat pulang ke Miyako. Tentera Revolusi Nasional dari tanah besar China dijadualkan akan mendarat di Keelung. Untuk mengelak masalah ketika mereka datang, kami orang-orang Jepun telah diminta bergerak ke tempat yang sedikit jauh dari pelabuhan Keelung, lalu kami pun beralih tempat. Kami hanya beralih tempat pada hari Tentera Revolusi Nasional tiba. Pada waktu petang selepas mereka berlalu, kami kembali ke tempat asal.

Nahas Sakaemaru

Sejurus selepas perang tamat, orang yang merancang pulang ke Pulau Miyako masing-masing mencarter kapal dan pulang dengan menaiki kapal. Bersama keluarga pak cik saya, kami dijadualkan untuk menaiki sebuah kapal. Kapal ini bernama “Sakaemaru”. Kami menunggu beberapa hari untuk kapal berlepas, tetapi sepupu saya yang pernah bekerja sebagai ketua jurutera kapal datang kepada saya. Dia yang arif tentang kapal memberitahu saya, Sakaemaru adalah seperti sebuah kapal terbiar yang hampir dilupuskan. Ia hanya digunakan untuk mengisi kekurangan kapal penghantaran balik, Dia menyarankan kami untuk tidak menaiki kapal ini kerana ianya bahaya. Apabila saya mendengarnya, saya turut memberitahu pak cik saya supaya kami tidak naik kapal Sakaemaru. Lalu, pak cik saya pun memutuskan untuk tidak naik kapal ini. Tetapi, bagasi kami sudah dinaikkan ke atas kapal. Untuk menjaga bagasi kami, hanya saya sahaja yang menaiki Sakaemaru.

Kemudian, seperti yang diberitahu, enjin Sakaemaru tiba-tiba rosak. Waktu itu bulan November, laut bergelora dengan angin utara bertiup kencang. Enjin kapal telah terhenti, kapal itu hanya bergerak mengikut angin. Berlawanan dari arah kami berlepas dari pelabuhan Keelung, sauh kapal diturunkan berdekatan pantai yang berbatu-batu. Saya berada di atas dek kapal, ombak besar tiba-tiba datang dan saya telah terjatuh ke dalam laut. Akhirnya, Sakaemaru terdampar di pantai. Saya tidak ingat jumlah sebenar, tetapi daripada 160 orang penumpang, hanya 30 terselamat. Antara yang terselamat, terdapat kanak-kanak lelaki berumur lebih kurang 5,6 tahun. Saya percaya hanya tuah menentukan siapa yang terselamat.

Orang tempatan datang membawa obor untuk membantu menyelamatkan kami. Apabila kami berenang ke pantai, mereka mengangkat kami semua naik ke darat. Saya tidak berapa ingat bagaimana rupanya, tapi saya bermalam di pondok kecil berdekatan pantai. Keesokan paginya, saya dipanggil oleh orang yang telah menyelamatkan saya dan diminta membantu mereka mengurus mayat-mayat yang telah terdampar. Kami golongan muda yang masih berdaya ditugaskan untuk mengumpulkan mayat-mayat. Hampir semua mayat penumpang kapal telah terdampar di pantai. Organ dalaman sesetengah mayat terkeluar dan ada juga mayat yang kepalanya sudah tiada rupa. Saya mahu menutup mata semasa saya melihatnya.

Sakaemaru ialah kapal kecil dengan berat lebih kurang 30 tan. Saya fikir jika enjin itu tidak rosak sekalipun, perjalanannya pasti akan menghadapi masalah. Tidak padan dengan saiznya, ramai orang telah dimuatkan ke atas kapal. Mengenangnya kembali, menaiki kapal itu memang sangat bahaya. Yang peliknya, memori saya selepas diselamatkan hampir tiada. Saya ingat saya mengumpul mayat-mayat itu, tetapi saya tidak ingat siapa yang telah membawa saya ke Pulau Miyako dan bagaimana saya sampai ke sana.

Pulang ke Miyako dan bekerja atas kapal

Sekitar bulan Disember 1945, saya kembali ke Pulau Miyako. Saya menaiki Sakaemaru pada bulan November, jadi rasanya saya tiba pada bulan Disember. Setibanya saya di sana, saya lihat pemandangan di Pulau Miyako seperti bandar hangus selepas dilanda serangan udara. Ada beberapa tentera Amerika di sini, tetapi tidak begitu ramai. Tentera A.S. bertempat di stesen meteorologi dan saya bekerja di sana sebagai penjaga tempat itu selama lebih kurang setahun setengah. Selepas itu, saya bekerja atas kapal.

Terdapat kapal “Tsukinbou” (tangkap ikan guna tempuling) untuk menangkap ikan marlin pada waktu itu. Saya rasa saya mula bekerja di kapal bermula di kapal “Tsukinbou”. Seseorang di Pulau Yonaguni mempunyai dua buah kapal, saya menaiki salah satu daripada kapal tersebut, dan dari Pulau Yonaguni, saya pergi hingga Itoman di pulau utama Okinawa. Kemudian saya terlibat dengan “bisnes gelap” buat seketika. Kapal yang berlepas dari pulau Yonaguni hampir setiap kali tiada muatan. Bila tiba di pulau utama Okinawa, kapal ini dimuatkan dengan tong dram berisi minyak pelincir, tayar, pakaian tentera A.S dan macam-macam lagi yang kemudian diangkut ke tempat lain. Tiba di Itoman, tanpa mendarat, barangan ini dipunggah keluar ke bot lain. Selalunya, bot ini melalui Pulau Kume, saya rasa ada juga waktu barangan diambil dari Pulau Kume. Isteri kapten kapal ini berasal dari Sonai. Dari yang saya dengar, kapten kapal berasal dari Pulau Tarama. Oleh kerana isterinya orang Sonai, mereka suami isteri tinggal di Sonai. Kapten kapal ini juga tuan punya kilang katsuobushi (parutan ikan tongkol). Muatan kapal diturunkan di pelabuhan Sonai. Peningkatan ekonomi mendadak di Pulau Yonagumi berlaku seketika selepas waktu ini. Semasa kami terlibat dalam “bisnes gelap” kami tidak rasa peningkatan ekonomi, orang yang terlibat dalam “bisnes gelap” juga tidak begitu ramai. “Bisnes gelap” di Yonaguni hanya bertumbuh pesat lama selepas itu. Saya belayar 4 atau 5 kali menggunakan kapal itu dan meneruskan pekerjaan itu selama setahun setengah. Dalam selang pelayaran, saya menetap di Pulau Yonaguni dan Pulau Miyako.

Pengusaha-pengusaha di Pulau Miyako menubuhkan sebuah syarikat dagangan, mereka mempunyai sebuah kapal bernama “Taiheimaru”. Saya seterusnya menyertai kru kapal ini. Sewaktu berada di Taiheimaru, saya mengangkut kayu balak dan kayu api dari Yaeyama ke Pulau Miyako. Pada waktu itu, kebanyakan kayu balak dan kayu api telah dibawa dari Yaeyama. Saya sering mengisi kayu api dari Hirakubo di bahagian utara Pulau Ishigaki. Selepas itu, kapal Taiheimaru tidak lagi digunakan. Mereka mempunyai kapal baharu yang dipanggil “Bussanmaru”. Sejak itu, saya menjadi kru kapal Bussanmaru. Selepas perang tamat, saya berlayar ke pulau utama Okinawa, kepulauan Amami Oshima hingga ke perkampungan Toshima (gugusan pulau) di kepulauan Tokara. Ada waktu, sampai ke Pulau Pratas. (berdekatan Hong Kong dan Taiwan) Kami mengumpul sejenis rumpai laut “Kaininsou” (nama dialek, Nachora). Kami tidak menyedari kami telah melepasi Pulau Pratas, hingga hampir ke persisiran pantai China. Kami telah ditangkap oleh bot peronda pantai dan dibawa ke Macau. Kami berada di Macau selama lebih kurang 6 bulan. Kami tidaklah dikurung dalam penjara, tapi kapal kami telah dirampas. Syarikat perdagangan (pemilik kapal) dari pulau Miyako berusaha untuk mendapatkan kembali kapal Bussanmaru. Kapal itu telah dilelong, tapi mereka akhirnya berjaya juga untuk membelinya balik. Walau bagaimanapun, masih terdapat masalah. Nozzle (silinder mengelingi kipas), komponen kapal yang sangat penting, telah dicabut. Sehingga komponen yang diperlukan diperoleh, kami duduk di Macau selama setengah tahun.

Bussanmaru mempunyai berat lebih kurang 30 tan. Ia dibina dari kayu pokok cedar Jepun. Kami tidak pernah berlayar dengan muatan dari Pulau Miyako. Tetapi, kapal ini melalui pulau utama Okinawa. Kami mengambil penumpang di Pulau Miyako dan menurunkan mereka di pulau utama Okinawa. Selain itu, kami juga pergi ke Naze di kepulauan Amami Oshima hingga ke Pulau Kuchinoshima di dalam perkampungan Toshima. Di kala itu, saya rasa polis memang ada, tetapi mereka tidak begitu mengganggu bisnes gelap kami. Walaupun ada garisan sempadan pada waktu itu, kami bebas berlayar pergi dan balik. Bila kami ke Pulau Kuchinoshima di perkampungan Toshima, kami mengangkut kayu balak, beras dan oren dari pulau ini. Dari sana, kami singgah di pulau utama Okinawa, dan jika ada penumpang, mereka akan naik dan kapal ini pulang ke Pulau Miyako. Kapal Bussanmaru juga mengangkut kayu balak dan kayu api dari Pulau Ishigaki.

Ke pulau utama Okinawa untuk bekerja di stesen janakuasa. Pada tahun 1949, saya berhenti kerja di Bussanmaru dan pergi ke pulau utama Okinawa. Saya dengar senior saya dari Pulau Miyako terlibat dalam pembinaan stesen janakuasa Makiminato. Dengan maklumat ini, saya cuba ke sana dan berjumpa senior-senior saya dari Miyako. Pada waktu itu, komponen seperti turbin dan dandang (pemanas) sangatlah berat bertan-tan, dan tidak boleh dibawa menggunakan jalan darat pada zaman itu. Maka, kapal pendarat tentera A.S digunakan dan dibawa dari pelabuhan Naha. Terdapat pantai betul-betul sebelah stesen janakuasa Makiminato. Kapal pendarat ditarik ke pantai sejauh yang boleh, kemudian, dua orang mengangkat setiap blok kayu besar dengan ketebalan 30 cm dan menyusunnya di atas pantai. Di atas susunan blok kayu diletakkan objek pengguling untuk menggerakkan komponen-komponen berat tadi. Dengan cara ini, kami membawa semua jentera berat masuk ke stesen janakuasa. Kami banyak melakukan kerja berat.

Selepas semua barang berat selesai diangkut, seterusnya adalah kerja pemasangan paip. Mesin-mesin dipasang kepada paip-paip yang berkaitan. Tukang paip dari tanah besar Jepun datang melawat dan mereka melakukan kerja pemasangan paip sambil melihat pelan. Kami menjadi pembantu kepada mereka dan menolong mereka membuat kerja. Itulah antara kerja-kerja saya sewaktu penglibatan saya membina stesen janakuasa. Melalui pengalaman ini, saya menjadi arif tentang struktur dan fungsi mesin yang ada di sini. Dan stesen janakuasa ini pun siap dibina. Pada waktu itu, tidak terdapat jurutera pengendali stesen janakuasa di Okinawa. Ketika mereka perlu membuat operasi percubaan apabila stesen janakuasa ini hampir siap, kami diminta untuk cuba melakukannya. Kami pun menghidupkan penjana elektrik hingga berjaya. Dengan itu, syarikat Toshiba (operator stesen) telah mengambil kami sebagai pekerja tetap. Saya hanya boleh kata kami sangat bertuah. Kami telah diamanahkan untuk mengendalikan stesen janakuasa meskipun kami tiada kepakaran.

Apabila stesen kuasa siap, syarikat Amerika bernama Gilbert telah diberikan kepercayaan oleh tentera A.S. untuk mengurusnya. Dengan ini, majikan kami bertukar dari Toshiba (syarikat yang membina stesen) kepada syarikat Gilbert. Selepas itu, Ryukyu Electric Power Corporation ditubuhkan dan stesen janakuasa bertukar tangan dari Gilbert ke Ryukyu Electric Power. Ketika stesen janakuasa ini siap dibina pada bulan April 1953, bersamanya adalah empat unit penjana elektrik berkuasa 15,000 kilowatt. Namun, permintaan kuasa semakin meningkat, dan empat penjana elektrik ini tidak cukup untuk membekalkan tenaga elektrik. Oleh itu, sebuah kapal loji kuasa bernama Jacona telah datang dan pada bulan Jun 1955, Jacona mula membekalkan kuasa elektrik dari lapangan terbang Hamby di Chatan. Tempat kerja saya pun berubah dari stesen janakuasa Makiminato ke Jacona. Kerja di sana amatlah mencabar.

Mesej untuk golongan muda

Semasa anda masih muda, kemungkinan anda tiada had. Oleh itu, saya mahu anda teruskan bidang yang anda pilih dan percaya dengan kemungkinan anda. Semasa saya muda dan mula bekerja di stesen kuasa, saya sangat asyik dengan kerja saya. Saya hanyalah lulusan sekolah rendah. Saya tidak berpeluang untuk betul-betul belajar fizik dan kimia. Bekerja di stesen kuasa merangkumi banyak aplikasi pengetahuan fizik dan kimia. Saya beli buku-buku fizik dan kimia di Naha dan belajar daripadanya. Saya percaya semangat seperti ini yang bagus untuk dipunyai terhadap kerja. Dalam apa-apa kerja yang diberi, buat betul-betul dan menyeluruh sehingga ke akhirnya.


En. Kinzo Sunagawa adalah salah seorang dari mereka yang pulang dari Taiwan dan terselamat dalam nahas Sakaemaru. En. Sunagawa yang nyaris-nyaris hilang nyawa, walaupun dalam situasi huru-hara di akhir perang tetap rajin dan gigih melengkapkan dirinya dengan ilmu berkaitan elektrik lantas menyumbang kepada pembinaan semula selepas perang.