Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Airakuen Okinawa: Mengekalkan Lampu dan Bayang

En. Jinyu Taira

Tarikh Lahir:1939

Tempat Lahir:Pulau Kume

Pulau Kume di kala perang dan kehidupan saya

Saya telah dilahirkan pada tahun 1939 di Pulau Kume. Dalam keluarga saya,
ada ayah, ibu, dan 7 orang adik beradik. Saya merupakan anak yang ke-4 dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Ibu bapa saya bekerja dalam bidang pertanian. Hasil pertanian utama mereka adalah padi. Pada waktu itu,setiap keluarga menternak khinzir mereka juga menanam ubi keledek untuk dijadikan makanan khinzir.

Terdapat sebuah pos kawalan Tentera Jepun di Uegusukudake. Kampung kami terletak di bahagian bawah pos kawalan tentera tersebut. Pada suatu hari, saya terdengar bunyi letupan serangan laut tentera A.S yang sangat kuat. Saya ingat setiap kali pos kawalan tentera Jepun di Uegusukudake diserang, kakak saya mengendong saya dibelakangnya dan kami melarikan diri ke pantai. Bunyi letupan sangat kuat seolah-olah serangan bom berlaku di atas kepala saya. (Sekitar sejurus selepas perang tamat)meskipun memori saya tidak begitu jelas, tapi saya ingat saya telah didiagnosis dengan penyakit Hansen. dan saya mengasingkan diri di bilik belakang rumah. Pada waktu itu, saya tidak memahami yang saya menghidapi penyakit itu, tetapi saya merasakan perbezaan pada diri saya berbanding orang lain. Ibu-bapa saya tidak mengajar saya supaya berkurung di belakang rumah, atau menyembunyikan diri apabila ada orang bertandang ke rumah tetapi sudah menjadi tabiat saya sejak kecil menyembunyikan diri di belakang rumah setiap kali ada orang luar datang ke rumah kami.

Rawatan penyakit Hansen sewaktu era perang

Di Pulau Kume, kaedah rawatan penyakit Hansen tidak wujud pada masa itu. Ayah saya kerap membawa saya ke tempat perubatan terapi di Okinawa yang memberi pesakit ubatan tradisional yang dipanggil “Yaboo”. Saya juga telah menjalani rawatan terapi moxibustion di sana. Menurut pakar terapi, penyakit saya disebabkan oleh peredaran darah yang teruk. Di Okinawa kaedah rawatan tersebut dipanggil “Boo Boo” atau berbekam Mula-mula, dia meletakkan sedikit awamori ke dalam batang buluh dan menyalakan api padanya (dalam buluh dibiarkan kosong) dan meletakkannya di atas bahu saya dan tempat bertompok yang lain untuk mengumpulkan darah dari situ. Apabila terbentuk benjolan pada bahu saya, pakar terapi memotong benjolan itu menggunakan pisau cukur, menyalakan api pada batang buluh sekali lagi dan menyedut darah yang terkumpul di bahagian benjolan melalui batang buluh. Ia merupakan perubatan tradisional untuk penyakit Hansen di Pulau Kume pada waktu itu. Ibu saya secara tidak langsung mempelajari kaedah rawatan tersebut dan melakukan “Boo Boo” dan rawatan terapi moxibustion ke atas saya. Masih lagi segar di memori saya kesakitan ditoreh dengan pisau cukur di tempat yang sama beberapa kali.

Berpisah dari keluarga dan berpindah ke Okinawa Airakuen

Saya meninggalkan Pulau Kume pada 23 Disember 1948. Pada hari itu, sewaktu ahli keluarga yang lain sedang tidur, saya telah dikejutkan oleh ayah saya, Saya dipaksa untuk menutup kepala dengan sehelai kain dan memakai topi jerami. Ayah saya turut melakukan perkara yang sama, menutup kepala dengan kain dan topi jerami. Kemudian, waktu itu luar masih gelap, saya disuruh menunggang kuda kesayangannya manakala ayah saya menarik kuda itu menggunakan tali kekang dan kami meninggalkan rumah. Kami bergerak sepanjang jalan utama tetapi apabila hari mula cerah, ayah bertukar jalan dan kami bergerak melalui laluan gunung dan ladang. Saya rasa ayah menutup kepala saya dengan sehelai kain dan topi jerami bukanlah kerana cuaca yang sejuk tetapi untuk mengelak daripada menarik perhatian orang lain terhadap pesakit Hansen. Kami tiba di Pelabuhan Hanasaki berdekatan Sekolah Menengah Kumejima Pelabuhan Hanasaki ketika itu bukanlah pelabuhan yang lengkap seperti hari ini. Seramai 27 orang pesakit Hansen di Pulau Kume berkumpul di atas gunung yang menjadi penempatan pesakit Hansen selepas perang. Apabila kami turun dari tebing itu, ada sebuah perahu memancing (sabani) di atas pasirpantai. Kami diarahkan menaiki perahu sabani. Kemudian, sebuah LST A.S. (Kapal Pendarat Kereta Kebal) berlabuh di luar pesisir pantai. Kami dipindahkan dari perahu Sabani ke kapal LST. Kemudian, kami melakukan perjalanan semalaman dan mendarat di “Okinawa Airakuen” di Pulau Yagaji, Bandar Nago pada 24 Disember. Ramai orang mengalu-alukan kedatangan kami di Airakuen. Saya hanya tinggal di bilik belakang rumah saya di Pulau Kume dan untuk mengelak perhatian orang lain, saya selalu seorang diri, sebaik sahaja turun dari jeti terapung itu di hadapan Airakuen, saya melihat ramai kanak-kanak dan pesakit seperti saya. Bila saya diberitahu yang saya akan tinggal bersama-sama mereka, saya berasa amat gembira.

Kehidupan di asrama dan sekolah di Airakuen

Di Airakuen, terdapat asrama untuk remaja lelaki dan perempuan. Asrama tempat tinggal saya dahulunya adalah sebuah Quonset(kompleks rumah) tentera A.S. Ia menempatkan sekurang-kurangnya 30 orang kanak-kanak pada waktu itu. Asrama tersebut mempunyai bumbung separa bulat dan ia telah dibahagikan kepada dua bahagian, satu bahagian untuk remaja lelaki dan satu untuk remaja perempuan. Remaja lelaki dan perempuan tinggal dalam bangunan yang sama. Di asrama kami, ada warden lelaki dan perempuan yang berperanan sebagai ibu dan ayah.Mereka dipilih oleh para penghuni di sini. Katil tentera A.S diletakkan di kedua-dua belah dinding asrama. Di bawah katil tersebut ada sehelai kain yang kami potong dan hamparkan di atas papan lapis. Kami meletakkan barang-barang kami di atasnya. Pada waktu malam, kami hamparkan toto dan selimut di atas katil dan tidur di situ.

Pada waktu sarapan pagi, makan tengahari dan malam, kami menyusun meja makan panjang di tengah bangunan yang tidak terbahagi, sebagai tempat remaja lelaki dan perempuan makan bersama-sama. Beras yang kami makan pada waktu itu tidak seenak yang ada pada hari ini. Ianya adalah beras import yang keras. Pada waktu itu, terdapat banyak tepung gandum dalam bantuan bekalan makanan daripada tentera A.S. Daripada tepung tersebut kami sering masak sup tepung gandum. Selain itu, kami juga memasak sup sayur. Sayur-sayuran tersebut adalah hasil tanaman pesakit Hansen yang mempunyai simptom yang ringan. Kami semua menikmati hidangan sup sayur tersebut. Tentera A.S juga memberikan pelbagai barangan bantuan kepada kami. Antaranya adalah pakaian terpakai, permainan dan gula-gula. Pakaian kanak-kanak yang diberi adalah jauh lebih besar daripada saiz badan saya ada yang saya pakai begitu sahaja atau pakaian itu dijahit semula supaya sesuai dengan saiz badan.

Saya tidak mempunyai memori pergi ke sekolah ketika di Pulau Kume. Sewaktu saya memasuki Airakuen, saya berumur 9 tahun bersamaan umur pelajar darjah 3 sekolah rendah. Airakuen mempunyai sekolah yang dipanggil Airaku Gakuen jadi saya belajar di sana dari kelas darjah tiga sekolah rendah Sekolah ini juga melingkupi hingga pendidikan menengah rendah, tetapi terdapat ramai kanak-kanak yang tidak dapat pergi ke sekolah sebelum itu kerana penyakit Hansen dan umur kami semua pelbagai. Jadi semua pelajar telah diletakkan dalam kelas yang sama tanpa mengira umur. Dalam kelas yang sama, ada yang lebih tua atau lebih muda dari saya. Kami belajar menggunakan buku teks terpakai yang digunakan di sekolah luar Airakuen. Kadangkala kami juga menggunakan buku cetakan mimeograf yang dihasilkan oleh komuniti Airakuen. Orang dewasa dan kanak-kanak bermain bola tampar dan besbol di fasiliti yang disediakan. Posisi saya ketika bermain besbol adalah catcher. Memandangkan sekolah kami tidak mempunyai sebarang interaksi dengan sekolah luar, Airakuen tidak pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan sekolah lain. Para pelajar menubuhkan kumpulan dikalangan mereka dan bertanding antara satu sama lain. Apabila kami naik ke darjah yang lebih tinggi, kami bertanding bersama dengan penghuni dewasa. Saya tidak berasa sunyi kerana saya sentiasa bersama kanak-kanak lain.

Ada banyak batu besar di pantai berdekatan Airakuen, dan kami memanggil kawasan ini sebagai “hutan”. Pada waktu petang, jika saya pandang ke arah pulau utama dari pantai, saya boleh nampak lampu kereta dan bas yang lalu lalang dari Nago ke Kunigami. Seorang diri, saya duduk di bawah pokok pandan laut di tepi pantai memerhatikan kelipan lampu kenderaan dari sana bersinar dan hilang dihalang batu-batu di pantai. Di situ saya terkenangkan keluarga saya, ibu bapa saya, kakak dan adik perempuan saya. Saya tertanya-tanya bila agaknya saya dapat meninggalkan tempat ini dan pulang ke pangkuan keluarga sambil menangis sendirian sewaktu saya masih kecil.

Kehidupan setelah meninggalkan Airakuen; Kerjaya dan perkahwinan

Saya telah meninggalkan Airakuen buat kali pertama pada tahun 1956. Saya membantu ayah saya bertani di Pulau Kume. Walaupun saya sembuh daripada penyakit Hansen, saya mengalami kesan sampingan daripada gejala penyakit tersebut iaitu saraf anggota badan saya membengkak. Apabila saya bekerja di ladang mencangkul tanah setiap kali tanah tersebut terkena kaki saya akan merasa kebas. Orang lain yang melihat termasuk ibu bapa saya tidak memahami kesakitan yang saya alami. Hanya saya saja yang memahami kesakitan tersebut.

Saya merasakan yang saya tak mampu untuk meneruskan pekerjaan di ladang. Saya berfikir apa yang saya boleh buat dan memutuskan untuk mendapatkan lesen memandu. Jadi saya memberitahu ayah saya bahawa saya ingin mendapatkan lesen memandu. Tetapi ayah saya tidak membenarkan saya kerana bahaya katanya. Ada seorang petugas di Airakuen yang kini saya rasa telahpun meninggal dunia. Dia melayan saya seperti anaknya, dia seperti penggnti ayah saya di sana. Dia telah datang ke Pulau Kurume untuk menolong saya memujuk ayah saya. Akhirnya ayah memberikan kebenaran kepada saya mendapatkan lesen memandu. Pada waktu itu terdapat Persatuan Penyakit Kusta di Naha yang sekarang ini dikenali dengan nama Persatuan Yuuna Okinawa. Saya tinggal di sana buat seketika sementara saya belajar di sekolah memandu untuk mendapatkan lesen. Selepas itu saya bekerja sebagai pemandu di kedai arak pak cik saya di Naha. Kemudian saya bekerja sebagai pemandu teksi dan juga pemandu trak 2 tan untuk kedai borong sayuran dan buah-buahan. Saya memandu 2~3 perjalanan ulang alik dari pelabuhan ke kedai dan membuat penghantaran bersama penjual dari Naha ke kawasan selatan dan tengah Okinawa.

Semasa saya bekerja di kedai arak pakcik saya saya perlu membuat penghantaran ke Kunigami jadi saya bermalam di Kunigami tanpa pulang ke Naha. Saya telah jatuh cinta dengan seorang wanita di sana dan berkahwin. Sewaktu ingin berkahwin saya merasa sukar dan risau untuk memberitahu tentang masa silam saya kepada isteri saya. Apabila saya memberanikan diri untuk berterus terang kepada isteri saya, dia menerimanya dengan mudah. Menurut isteri saya, dia mengetahui tentang kewujudan Airakuen dan pernah berhasrat untuk bekerja di sana. Saya berasa lega mendengarnya.

Kesukaran dan pembinan semula Okinawa Airakuen

Pada tahun 1944, perang di darat dijangka akan meletus di Okinawa dan Rejimen ke-32 telah dibentuk di Okinawa. Kira-kira 100 ribu orang askar datang dari tanah besar Jepun ke Okinawa. Tentera Jepun telah menggunakan dewan awam dan sekolah sebagai markas ketenteraan tidak cukup dengan itu, mereka turut merampas rumah persendirian di Okinawa. Khabarnya Okinawa mempunyai kadar insiden penyakit Hansen yang lebih tinggi sebelum perang dan ada sesetengah pesakit yang tinggal di bahagian belakang rumah keluarga mereka.Tentera Jepun maklum mengenai perkara tersebut. Pada waktu itu penyakit Hansen telah dipanggil dengan nama penyakit kusta. Mereka khuatir sekiranya askar mereka dijangkiti kusta kekuatan pertahanan mereka akan lemah. Oleh sebab itu, mereka berwaspada terhadap para pesakit Hansen.

Selain itu,terdapat arahan supaya memindahkan warga emas, wanita, kanak-kanak keluar dari Okinawa kerana mereka dilihat sebagai halangan kepada pertahanan pulau utama Jepun dan perang. Walau bagaimanapun, apabila askar Jepun menjumpai pesakit Hansen, pesakit itu terus dipisahkan daripada keluarga mereka dan dikurung di Airakuen oleh Tentera Jepun. Mereka yang dibawa ke Airakuen telah dipaksa menggali tempat perlindungan daripada serangan udara yang dipanggil parit Hayata. Para pesakit Hansen termasuk saya mengalami kebas pada anggota badan dan tidak dapat merasai sentuhan. Mereka sedar bahawa mereka telah tercedera hanya selepas luka mereka berdarah. Kami dipaksa menggali tempat perlindungan serangan udara dan berladang dalam keadaan kesihatan yang sebegitu. Khabarnya semasa “Serangan Udara 10 Oktober” oleh tentera A.S. kebanyakan bangunan di Airakuen telah terbakar. Tentera A.S menyerang Airakuen kerana kawasan tersebut dilabel sebagai “berek Tentera Jepun” di dalam peta perang bahagian utara milik Tentera A.S. Berek merujuk kepada markas tentera dan dilabelkan dengan simbol Tentera Jepun yang menjadi punca salah faham Tentera A.S. Kapasiti penghuni Airakuen pada waktu itu ialah seramai 450 orang pada satu-satu masa tetapi khabarnya sekitar 800-900 pesakit, telah ditempatkan di situ oleh Tentera Jepun. Kami dipaksa untuk tinggal beramai-ramai di kawasan yang bersaiz 331,000 meter persegi. Pada bulan April 1945, tentera A.S. telah mendarat di Pulau Yagaji dan baru mengetahui akan Airakuen, adalah sanatorium untuk penyakit Hansen, maka mereka berhenti menyerang tempat ini. Walau bagaimanapun, selepas serangan berakhir, semua bangunan telah dibakar dan para pesakit tidak dapat keluar dari tempat perlindungan di parit. Pada waktu malam pesakit Hansen dengan simptom yang ringan boleh keluar mencari makanan, tetapi pesakit yang kronik tidak dapat keluar mencari makanan. Musim hujan yang bermula pada bulan Mei di Okinawa menyebabkan parit Hayata dipenuhi dengan air. Pesakit kronik Hansen mati dalam keadaan duduk bersandar pada dinding lumpur. Ramai pesakit yang mati seorang diri akibat kebuluran, kekurangan nutrisi dan malaria tanpa dijaga oleh keluarga atau kakitangan sanatorium. Dikhabarkan 288 orang mati dalam parit dalam masa lebih kurang setahun. Kakitangan sanatorium dikatakan telah meninggalkan pesakit dan melarikan diri apabila perang bermula.

Airakuen telah musnah teruk akibat perang. Walaubagaimanapun, pembangunan semula Airakuen bukannya dilakukan oleh kerajaan Jepun. Dari tahun 1949 hingga 1952. Ketua Jabatan Kesihatan dan Kebajikan dalam tentera A.S. merupakan seorang doktor Amerika, bernama Doktor Scorebrand.

Beliau merupakan orang pertama yang bergerak untuk membangunkan semula Airakuen. Beliau mempunyai pengalaman bertugas di sanatorium pesakit Hansen di Hawai selama setahun. Sebagai doktor, beliau merasakan ubat Promin adalah perlu sebagai rawatan untuk penyakit Hansen. Tetapi melihatkan pada keadaan nutrisi dan kekuatan fizikal pesakit, pesakit di sini tidak berada dalam keadaan yang membolehkan mereka memulakan rawatan Promin. Oleh itu, beliau meminta kebenaran khas Josef R. Sheetz, Gabenor Tentera untuk menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada penghuni di sini. Selepas pesakit mendapat kekuatan fizikal, rawatan Promin pun dimulakan. Saya melihat para pesakit di Airakuen berkerjasama dari memikirkan senireka hinggalah ke proses pembinaan sendiri kediaman mereka menggunakan kayu
yang disediakan oleh Dr.Scorebrand. Tanpa usaha Dr. Scorebrand, Okinawa Airakuen tidak mampu dipulihkan. Okinawa Airakuen hari ini dibina semula
oleh semua pesakit di sini. Projek pemulihan pusat ini juga dilakukan oleh para pesakit dengan bantuan para penyokong yang lain. Maka terbentuklah Okinawa Airakuen seperti yang boleh dilihat sekarang. Saya ingin menyatakan di sini, tapak Airakuen adalah tanah di mana tempat darah dan keringat mereka yang hak asasinya telah dirampas oleh Undang-undang Pencegahan Kusta. Kemarahan kami membuak-buak terhadap Undang-undang Pencegahan Kusta. Pertamanya, saya ingin anda semua memahami kerana wujudnya Undang-undang Pencegahan Kusta, kami penghidap penyakit Hansen telah diasingkan di pusat ini, betapa menderitanya hidup kami dan apakah yang kami rasa sementara di sana, itulah yang saya ingin sampaikan kepada semua.

Mesej kepada golongan muda

Ada satu penyebab mengapa saya menjadi pembimbing dan pencerita di Airakuen. Terdapat organisasi bernama Jaringan Hak Asasi HIV (Human Inner Values) Okinawa yang menumpukan aktiviti mereka kepada kanak-kanak. Saya telah berjumpa kanak-kanak di sini dan menyedari kepentingan sifat prihatin dan kasih sayang terhadap orang lain. Setiap kali mendengar dan bercerita tentang sejarah pencabulan hak asasi bekas pesakit Hansen oleh Undang-undang Pencegahan Kusta, tidak pernah saya tidak mengalirkan air mata. Saya mahu golongan muda berfikir tentang masalah penyakit Hansen dan pencabulan hak asasi secara serius dalam hati mereka. Akhir sekali, salah satu impian setiap manusia ialah mengekalkan keamanan, tetapi sekadar mendesak keperluan keamanan secara lisan tidak akan membawa keamanan kepada kita. keinginan yang kuat terhadap keamanan dari dalam diri setiap oranglah yang akan membawa keamanan kepada kita. Inilah yang saya ingin memberitahu kepada golongan muda.


En. Jinyu Taira dilahirkan di Pulau Kume dan dipaksa ketika umur 9 tahun untuk menghuni Okinawa Airakuen sebagai penghidap penyakit Hansen. Pada tahun 1999, beliau keluar dari pusat ini dan menjadi ahli lembaga Majlis Perhubungan Bekas Penghuni Sanatorium dan seterusnya menjadi pengerusi. Selepas berjumpa kanak-kanak lain, En. Taira membangkitkan isu kesukaran yang dihadapi penghidap penyakit kusta serta keluarga mereka akibat penguatkuasaan Undang-undang Pencegahan Kusta dan beliau aktif menjadi sukarelawan di Okinawa Airakuen serta kuat menyokong gerakan hak asasi manusia dan keamanan.