Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Selepas Perang bagi Individu Yang Terselamat daripada Tsushima Maru Karam

Pn. Keiko Taira

Tarikh Lahir:1934

Tempat Lahir:Kampung Kunigaimi

Kehidupan di Kampung Kunigami

Saya dilahirkan pada tahun 1934 di Aha di Kampung Kunigami. Di perkampungan saya semua orang melakukan pertanian jadi semasa menyemai dan menuai hasil mengikut musim, kanak-kanak turut membantu dan kami banyak menolong. Waktu itu, dari menjaga ternakan lembu, khinzir dan ayam, sehingga menjaga adik-beradik, saya rasa saya lebih kerap membuat kerja rumah daripada belajar. Saya merupakan anak keempat daripada tujuh adik-beradik.

Menaiki kapal Tsushima Maru

Waktu itu terdapat nenek, kakak saya yang belajar di Sekolah Menengah Perempuan Wilayah Ketiga, abang saya yang darjah enam di Sekolah Kebangsaan dan saya dalam darjah empat. Kemudian terdapat tunang kepada abang saya yang berada di Tokyo turut bersama kami, dan sepupu perempuan sebaya saya yang tinggal di rumah sebelah Tokiko, yang pada mulanya tidak dibenarkan, tetapi setelah dia berkata “Sekiranya Keiko pergi, saya pun ingin pergi.”,akhirnya dia pun ikut bersama.

Tujuan kami berpindah ialah waktu itu abang dan ayah berada di Tokyo jadi kami ingin berjumpa ayah dan abang yang berada di sana. Selain itu, kami ingin ke tanah besar untuk melihat salji dan berfikir yang kami boleh menaiki kereta api. Kami tidak sangka bahawa keadaan berbahaya ketika peperangan. Keinginan kami ke tanah besar mengatasi semua itu. Ibu saya pada mula teragak-agak mengenai perpindahan ini terutama sekali abang saya yang darjah enam sangat teruja mengenai perpindahan ini. Nenek juga pada mulanya sangat tidak setuju dengan perpindahan. Tetapi kampung mahu kanak-kanak dan orang tua mengikuti perpindahan ini. Walaupun tidak mahu meninggalkan rumah, akhirnya nenek terpaksa akur. Penduduk kampung memujuk nenek dengan memberitahu bahawa boleh berjumpa anaknya di Tokyo sekiranya pergi. Akhirnya dia mengikuti perpindahan namun tidak kembali ke kampung semula.

Tenggelamnya kapal Tsushima Maru

Pada petang 22 Ogos 1944 arahan untuk naik ke dek telah dikeluarkan di kapal Tsushima Maru yang akan kami naiki. Keluarga kami seramai enam orang semuanya naik ke dek dan berada di satu tempat. Saya dan Tokiko telah tertidur dalam pangkuan di lengan nenek selepas itu. Apabila saya membuka mata keluarga saya tidak kelihatan dan saya berada di tengah lautan. Kakak yang sepatutnya berada di sebelah pun tidak kedengaran suara dan kelibat nenek langsung tidak nampak. Saya menjerit “Kakak! Nenek!” namun tiada sahutan. Ombak bergelora manakala Tsushima Maru yang telah diserang kapal selam sedang terbakar. Kanak-kanak menjerit dan para askar melempar kanak-kanak ke laut dari Tsushima Maru yang semakin tenggelam. Saya yang tidak tahu apa yang telah berlaku pula kini terapung di lautan. Pada saat itu saya telah terpisah dari kakak dan keluarga yang lain, tetapi kemudian saya dapat tahu bahawa kakak dan tunang abang saya berjaya diselamatkan oleh bot penyelamat. Arus laut yang bergerak ke utara dan selatan telah memisahkan kami; saya dibawa ke selatan manakala kakak dibawa ke arah utara sehingga sampai ke Kagoshima.

Saya bertemu Tokiko yang sedang menangis semasa di atas laut. Saya memujuk dengan berkata “Kalau menangis nanti tidak nampak apa-apa, jadi berhenti nangis.” Kami berdua berpaut pada tong kicap untuk terapung.Tetapi ombak yang kuat telah menyebabkan Tokiko terlepas dari tong kicap dan selepas itu Tokiko mula hilang. Saya cuba mencarinya dia tetapi tidak jumpa. Tokiko telah tiada dan orang mula tenggelam, mayat juga mula hanyut di laut, membuat saya rasa takut. Pada waktu itu,dari jarak 50 meter atas lautan kelihatan orang yang membuat bunyi bising “Di sana terdapat orang yang masih hidup” terfikir saya ketika itu jadi saya berenang di bawah mayat dan barang yang terapung dan berjaya naik ke rakit yang berada 50 meter di hadapan. Rakit itu hanya sebesar dua tikar tatami(3.3 meter persegi) dan dibuat daripada buluh, dan berpuluh orang berebut untuk naik ke atas rakit. Saya juga disambar kedua-dua kaki oleh seorang dewasa dan ditarik semula ke laut. Orang itu menarik saya ke laut supaya dirinya sendiri dapat naik ke atas rakit. Selepas saya dijatuhkan ke laut pun tangan dan kaki saya masih ditarik di dalam air. Walaupun saya fikir saya pasti lemas dan mati namun saya masih lagi sedaya upaya berpaut pada rakit. Saya melihat peluang dan berjaya naik ke atas rakit.

Setelah hari mula cerah, rakit yang ramai orang semalam kini hanya tinggal 10 orang. Malah tiada seorang pun daripada lelaki-laki yang telah cuba mengheret orang lain. Hanya tinggal seorang kanak-kanak lelaki bersama ibunya dan sembilan orang perempuan selebihnya.

Hanyut ke pulau tidak berpenghuni

Kami mula hanyut di lautan selepas itu. Semasa itu musim panas bulan Ogos dan matahari sangat terik jadi, kulit muka semua orang terbakar dan menggelupas hingga muka semua orang menjadi buruk. Jika difikirkan semula, menjadi keajaiban kerana kami masih hidup setelah enam hari hanyut di laut. Kami terdampar di Edataku, sebuah pulau tidak berpenghuni Kampung Uken di Amami Oshima. Apabila rakit mengeluarkan bunyi dan berhenti saya tergesa-gesa turun dari rakit. Kami benar-benar gembira semasa tiba di pulau itu. Setelah hari siang menjelma kami mula maju ke dalam pulau mencari air. Kami juga menunggu ketibaan bot dari arah laut agak lama, akhirnya sebuah bot muncul di pandangan mata kami. Kami bersama-sama menjerit “Woi!” dengan kuat supaya bot itu sedar tentang kami. Saya turut memanjat batu yang agak tinggi. Setelah beberapa ketika bot mula mengubah haluan menuju ke arah kami. Kegembiraan pada waktu itu tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Semua orang menangis kegembiraan. Ketua bot itu ternampak saya dan berkata “Gadis muda yang berusaha!” “Kamu sangat hebat.” puji ketua bot itu.
Saya diam dan pandang ke bawah. “Nah, makanlah.” dan dihulur kepada saya bekal nasi yang terisi dengan nasi putih dan gula merah lembut dalam bekas lain. Kami memasukkan tangan ke dalam bekas itu dan makan dengan bersungguh-sungguh.

Dari 10 orang di atas rakit tersebut, hanya empat orang yang masih hidup. Kemudian kami dihantar ke klinik di kampung yang bertentangan dengan pantai Pulau Edataku. Kami menerima perkhidmatan rawatan dan makanan di sana. Perkara itu akhirnya membuat kami berasa masih hidup.

Kehidupan di Amami Oshima

Pada satu hari saya bertemu kawan ayah bernama En. Tsukayama dan saya dibawa pergi ke kampung yang dipanggil Koniya di Amami Oshima. Saya tinggal di sana selama setengah tahun. Buat sementara waktu En. Tsukayama telah menjaga saya. Di sana terdapat bayi lelaki berusia sembilan bulan dan saya menjaganya sambil menghantar dan menjemput En. Tsukayama pergi dan pulang dengan botnya. Terdapat juga serangan udara yang berlaku di Amami Oshima sehinggakan pada waktu malam beberapa kali kami melarikan diri ke tempat perlindungan. En. Tsukayama sering mengirim telegram kepada ibu saya. “KEIKO MASIH HIDUP DI SINI” tertulis lebih kurang begitu. Ibu sangat gembira mendapat tahu saya selamat selepas membacanya. Dia juga tidak sabar menunggu kepulangan saya. Apabila mendapat surat daripada ibu saya akan membaca surat sambil bersembunyi dan menangis Orang di rumah ini menjaga saya dengan baik jadi,
saya tidak mahu menunjukkan wajah sedih saya bagi menjaga perasaan mereka. Saya juga seronok menjaga bayi.

40 orang dari perkampungan Aha di Kunigami telah menaiki Tsushima Maru tetapi, 37 orang telah meninggal hanya saya, kakak dan tunang abang saya
tiga orang saja yang terselamat. Disebabkan itu kampung ini banyak rumah kosong selepas tamat peperangan. Terdapat keluarga yang seluruh ahli keluarganya terkorban menaiki kapal itu.

Pulang ke kampung halaman setelah setengah tahun

Pada 22 Februari 1945, saya menaiki bot En. Tsukayama dan dalam perjalanan menuju Okinawa dari Amami Oshima. Kami bermalam di Tokunoshima dan berlayar semula lalu bertembung serangan udara. Saya lihat bot yang diserang dari udara. En. Tsukayama berasa risau kerana bahaya dan tidak mahu kehilangan bot dalam serangan udara, jadi kami terus bersembunyi di pelabuhan di Pulau Yoron, kami menebang pokok di bukit berdekatan untuk menyembunyikan bot. Apabila malam tiba dan amaran serangan udara telah tamat, kami merentas lautan ketika malam dan tiba di perkampungan Ada di Kunigami.

Ibu saya datang ke Ada sambil berkata “Dimanakah Keiko” dan berhempas pulas mencari saya dan ibu ada melihat saya namun tidak perasan. Sehingga sebegitu berbezanya keadaan saya berbanding sebelum ini. Semasa tinggal di Aha saya semakin kurus tetapi semasa di rumah En. Tsukayama di Amami Oshima saya makan banyak dan membesar. Warna kulit saya pula semakin putih dan comel sehingga nampak berlainan perubahan saya. Oleh itu ibu
tidak perasan saya. Jadi sayalah yang mula memeluk ibu.

Saya pulang ke kampung halaman dan orang pertama yang saya temui adalah ibu kepada Tokiko sepupu saya. “Kamu balik dengan selamat tetapi anak saya Tokiko dibiarkan di lautan Pasifik” katanya dengan jelas. Saya pergi bersembunyi di rumah dan menangis. Saya faham itulah apa yang dirasai oleh ibu bapa dan saya rasa saya patut diberitahu sedemikian. Waktu itu di rumah kami terdapat seorang askar bernama En. Yoshida yang menginap di situ. Dia datang ke Aha untuk pertahanan dan setiap rumah akan ditempatkan supaya dia diberi makanan. Askar itu merupakan anggota Kor Isyarat dan ditugaskan di pergunungan. Padang permainan sekolah waktu itu menjadi tempat tanaman ubi keledek. Kadang-kadang terdapat serangan udara. Hari saya tiba di Aha pun terdapat serangan mesingan tentera AS di perkampungan ini. Semua orang kagum dengan saya yang masih pulang dengan selamat ketika peperangan.

Pengalaman perit semasa melarikan diri

Pada bulan Mac kami berpindah ke pondok perlindungan di atas gunung. Selepas itu Perang Okinawa pun bermula. Kami berteduh di pondok di gunung itu dari bulan Mac sehingga April. Selepas itu kami diberitahu “Jepun nampaknya telah kalah.” “Semua orang telah ditangkap tentera AS, jadi sila turun dari gunung”. Semua orang diturunkan dari gunung dan berkumpul di perkampungan Aha. Penduduk Aha dimasukkan ke dalam bot Amerika dan dibawa sehingga ke kawasan Noha di Kampung Ogimi. Ibu saya berkata “Saya tidak akan biarkan kamu naik ke atas bot lagi. Kamu telah hidup dan pulang daripada kapal yang telah karam. Sekiranya kamu naik lagi ke bot, tentera AS akan menghumban kamu ke dalam lautan Pasifik. Tidak akan naik kapal lagi” kata ibu yang membantah dan membawa kami berlari ke arah gunung yang bertentangan dari laut. Kami pergi jauh ke dalam gunung dan merentasi gunung menuju sehingga keluar di arah barat.

Kami melarikan diri sehingga ke tempat yang dipanggil Ueshima di Hentona, Kunigami. Kami berada disitu selama setengah tahun. Bekalan makanan pun tiada, ibu pula mendapat malaria sehingga tidak mampu menjaga anak-anak. Keluarga saya waktu itu hanya tinggal saya, emak, adik lelaki berumur empat tahun dan adik perempuan berumur tujuh tahun, empat orang semuanya. Oleh itu, saya berjalan sejauh 36 kilometer melalui denai dari perkampungan Ueshima, Hentona sehingga ke Aha untuk menggali ubi keledek yang di ladang sendiri. Ubi dimasukkan ke dalam bakul dan dipikul, dan kembali melalui denai sejauh 36 kilometer. Ubi keledek direbus untuk diberi makan kepada adik dan ibu. Apabila ubi keledek habis saya perlu pergi menggali lagi. Namun, perkara itu berulang sehingga ladang di Aha ubi keledek dikosongkan. Kerana kehabisan makanan perut kami kosong dan badan pun kelesuan. Adik saya semakin kurus dan perut mula bengkak dan keadaannya seperti hampir mati. Saya rasa bertanggungjawab dan membawanya kepada doktor. “Budak ini tidak sakit, cuma kekurangan nutrisi.” ujar doktor. Ada orang memberi petua “Lebih baik beri dia katak atau serangga untuk dimakan.”. Demi memberi makan adik, saya menangkap katak yang melompat-lompat di laman belakang, selepas itu perut katak dibelah dan dibasuh lalu dicucuk, dibakar di atas api dan dipercikkan garam lalu cuba diberi kepada adik untuk dimakan tetapi adik lelaki saya berkata “Kotor, takut, tak mahu makan.”. Saya memaksanya makan dengan menakut-nakutkan dia “Kalau tak makan ni, nanti mati.”. Ibu, adik perempuan, dan saya tangkap katak dan makan, dan mula bertenaga. Sejak hari itu adik yang telah merasa daging katak memberitahu saya “Katak selalu keluar dari sini setelah matahari tenggelam.”. Kami juga makan pepatung dan reriang.

Kehidupan sejurus selepas perang tamat Sementara kami meneruskan hidup dengan cara begini, perang pun tamat jua, kami sekeluarga merentasi gunung untuk pulang ke perkampungan di Aha. Rumah yang kami tinggal telah hangus terbakar. Semua rumah di perkampungan Aha terbakar, tiada satu pun yang tinggal. Kami bergabung tenaga dengan orang lelaki dewasa di kejiranan untuk membina pondok. Selepas perang kami mula tinggal di situ. Sejurus selepas perang tamat sekolah bukan lagi tempat belajar. Pelarian dari bahagian selatan tengah ramai yang berteduh di bangunan sekolah. Dalam keadaan kaca tingkap bangunan sekolah bertaburan telah dipecahkan oleh tentera AS itu, ramai orang yang berlindung di sana. Dengan ketiadaan makanan, terdapat orang yang mati kebuluran. Setiap hari saya melihat orang mati, mayat pula diangkut dengan beg guni dan saya dengar ada yang dicampak ke pintu masuk pelabuhan atau berhampiran perkuburan di Aha. Di perkampungan itu ramai pelarian yang mati akibat kebuluran. Tiada makanan untuk kami penduduk kampung Aha. Kerana ladang telah terbiar, makanan pun tiada dan kami telah menghasilkan garam laut dan membuat miso dan pelbagai kerja lain untuk terus hidup. Orang membajak tanah yang telah digali ubi keledek dan mencari lebihan ubi keledek kecil yang tertinggal supaya tidak lagi kelaparan agar terus hidup.

Tidak lama selepas itu tentera AS membuat agihan bekalan percuma. Pelbagai barang seperti susu, daging khinzir dan lembu dalam tin yang diserahkan. Semua orang cergas semula kerana menikmati makanan yang sedap, Selimut turut diedarkan jadi kami berjaya meneruskan hidup.

Sambung ke sekolah menengah dan kehidupan asrama. Kerana ayah, abang dan kakak dari Tokyo telah pulang ke rumah, hidup kami sekeluarga mula meriah semula. Pada waktu itu juga ladang kami sendiri juga diusahakan penanaman ubi keledek jadi kami tidak kelaparan jadi niat saya untuk sambung pengajian ke sekolah menengah juga merupakan waktu yang sesuai. Namun keluarga kami tidak menjana wang yang cukup untuk menanggung saya ke sekolah menengah jadi agak sukar untuk saya beritahu ayah kerana pasti ayah tidak mengizinkan saya ke sekolah menengah, fikir saya. Saya berbincang dengan ayah, ternyata ayah tidak setuju, walaupun saya ingin pergi tetapi tidak diizinkan, saya diberitahu kami tiada duit untuk bagi saya masuk asrama,
dan saya berfikir yang saya harus berputus asa. Tetapi oleh kerana kawan sekelas saya merupakan anak kepada pengetua sekolah, pengetua itu meyakinkan ayah untuk saya, akhirnya ayah memberi kebenaran untuk saya pergi sekolah menengah dan saya gembira. Empat orang dari kampung yang mengambil ujian kemasukan semuanya telah lulus jadi kami membuat sambutan besar-besaran. Semua masuk belajar dan berjaya tamat belajar.

Saya masuk ke Sekolah Tinggi Hetona yang waktu itu dipanggil High School. Sekolah itu mempunyai bangunan asrama beratapkan jerami, bangunan itu sangat usang. Makanan di situ tidak berapa sedap namun walaupun tiada makanan sedap, saya bertahan juga selama tiga tahun tinggal di asrama Noha di kampung Ogimi. Bangunan sekolah pula berbentuk separa bulat seperti berek tentera AS berbentuk kek ikan kamaboko. Saya merupakan pelajar kumpulan kelapan di Sekolah Tinggi Hetona. Buku teks pula hanyalah menggunakan helaian kertas cetakan dan nota nipis. Walaupun saya masuk ke asrama sekolah, tetapi saya hampir tidak belajar. Kerana kami perlu menjaga pelajar lebih muda. Budak-budak dari jauh apabila masuk ke asrama mereka akan menangis. “Nak balik Yanbaru.”, “Nak balik rumah.”
“Makanan tidak sedap.” tangis mereka. Apabila ada orang selsema di asrama, kerana tidak banyak bilangan bas yang bergerak ke sekolah waktu itu, saya tidak ke kelas kerana perlu menjaga pelajar sakit dan membuat bubur, dan saya banyak melakukan perkara seperti seorang jururawat sehingga saya hampir tidak boleh belajar. Walaupun begitu saya seronok ketika zaman sekolah.

Semasa saya sedang meneruskan pelajaran, ayah saya bekerja di syarikat pembinaan yang besar di Naha. Selepas tamat belajar ayah memberitahu bahawa di tempat kerjanya terdapat peluang pekerjaan. Jadi saya pergi ke Naha dan bekerja di syarikat yang sama dengan ayah.

Menjadi pengajar di sekolah asal

Pada waktu itu, guru besar sekolah asal saya Sekolah Rendah Aha, memberitahu “Tiada orang yang boleh menjadi guru bolehkah kamu datang.” jadi saya pergi ke sana dengan gembira. Keluarga saya telah pun berpindah ke Naha semuanya jadi saya tinggal di rumah nenek dan menjadi pembantu guru di sekolah asal saya Sekolah Rendah Aha. Selepas itu saya terus menyambung kontrak saya sebagai pembantu guru setahun sekali. Guru besar berkata “Kamu sesuai menjadi pengajar jadi lebih baik teruskan.”. Waktu itu terdapat kursus berkenaan pendidikan di Universiti Ryukyus jadi saya mengikuti kursus itu dan mendapat kredit. Saya juga mengikuti kuliah pensyarah daripada universiti di tanah besar Jepun yang datang ke Okinawa. Dengan cara itu saya memperoleh kredit dan mendapat lesen kelas satu dalam ikhtisas pendidikan untuk meneruskan sebagai guru.

Saya tidak mahu kanak-kanak lain mengalami apa yang telah saya lalui. Bekas pelajar saya sekarang ini telah pun besar, ada yang menjadi guru atau pengetua. Semua telah buat yang terbaik dan ini membuatkan saya gembira.

Mesej kepada golongan muda

Saya mahu golongan muda mempunyai sedikit minat terhadap dunia ini. Apa sahaja yang berlaku di dunia ini boleh dikaji sejarahnya saya berharap mereka menemui sesuatu yang mampu mereka lakukan demi keamanan. Itulah apa yang saya mahu.


Pn. Keiko Taira bekerja bertahun-tahun sebagai pengajar di sekolah rendah dan bertungkus-lumus dalam pendidikan keamanan. Sebagai salah seorang yang terselamat dari insiden Tsushima Maru, beliau sentiasa bercerita tentang pengalamannya. Selepas bersara pun beliau masih menjadi pencerita dalam menyampaikan situasi sebenar Perang Okinawa.