Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Bandar Henza dan Kehidupan Saya Selepas Perang

En. Shokou Okudara

Tarikh Lahir:1929

Tempat Lahir:Bandar Henza, Uruma

Ditangkap ketika cuba berlindung

Ketika kami ke selatan untuk berlindung, pergerakan kami terhenti di Ishikawa. Pada waktu itu, Ishikawa merupakan kem tahanan orang awam. Remaja berumur 15 ke 16 tahun seperti saya sering disyaki oleh tentera AS sebagai tentera remaja Jepun. Oleh itu, kami cuba melarikan diri daripada dijumpai tentera A.S. Pada waktu dahulu, terdapat tempat yang dipanggil Gan’ya. Gan’ya adalah tempat penyimpanan keranda dan Ishikawa juga mempunyai Gan’ya. Kami fikir tempat ini sesuai untuk dijadikan tempat persembunyian, lalu kami bersembunyi di sini. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Tentera A.S tertarik dengan tempat ini dan sering datang ke sini. Walaupun kami fikir kami berjaya bersembunyi, mereka tetap menjumpai kami. Kami gagal untuk menyembunyikan diri lantas ditarik keluar dari Gan’ya tersebut. Kami hampir dihantar ke kem tahanan Yaka yang teletak di Kin. Tetapi mereka melihat kami sebagai kanak-kanak dan bukan remaja. Jadi, dari kem tahanan remaja di Ishikawa, kami telah dikembalikan ke pangkuan keluarga. Seketika kemudian masuknya bulan Mei pada tahun 1945, ayah saya berunding dengan tentera A.S.

Kehidupan di Pulau Henza

lalu saya dibawa ke Yakena dari Ishikawa dengan menaiki sebuah jip. Dari sana, saya jalan kaki ke Henza dan akhirnya tiba dalam bulan Mei. Seperti di Ishikawa, Pulau Henza ketika itu juga menjadi kem tahanan orang awam. Pada masa itu mungkin terdapat sekurang-kurangnya 120 hingga 130 tentera A.S di Pulau Henza. Mereka juga bertempat di kawasan yang dahulunya merupakan sekolah rendah. Entah bila, Kampung Henza telah dikenali sebagai Bandar Henza dengan kehadiran mereka. Tentera A.S telah melantik seorang Ketua Bandar Henza. Pada waktu itu, saya rasa terdapat lebih kurang 8000 orang di Pulau Henza. Antara yang ditahan di kem tahanan di sini adalah penduduk dari Pulau Miyagi dan Pulau Ito yang terletak berhampiran. Penduduk Pulau Hamahiga pula ditahan hanya di kem tahanan Pulau Hamahiga. Kem tahanan Pulau Henza turut menempatkan penduduk Yakena dari pantai bertentangan Henza. Mereka yang ditahan di sini semua berasal dari semenanjung Yokatsu. Penduduk Naha yang berlindung di sini amat menderita. Dengan ketiadaan makanan, pelarian-pelarian terpaksa hidup di kawasan yang sempit. Hanya sedikit sahaja tanah ladang di Pulau Henza, jadi tiada tempat untuk bercucuk tanam. Isu kekurangan makanan amatlah berat.

Pada waktu itu, terdapat pengedaran bekalan makanan oleh tentera A.S. Oleh sebab tiada aliran mata wang ketika tempat ini diduduki tentera A.S, maka makanan dibekalkan dari stesen pengagihan oleh tentera A.S. Untuk pengagihan makanan, mereka membuat senarai nama mengikut setiap keluarga. Jumlah bekalan untuk diagihkan ditetapkan mengikut nama dalam senarai ini. Agihan bekalan untuk setiap individu adalah tetap. Dari stesen pengagihan, pelbagai barang telah diagihkan kepada setiap isi rumah: tepung, beras, makanan tin dan sebagainya. Keadaan waktu itu tidak membolehkan tanah untuk menghasilkan tanaman, kami tidak dapat bercucuk tanam atau menghasilkan apa-apa makanan. Kami semua hidup dengan bergantung sepenuhnya pada bekalan makanan yang diagihkan oleh tentera A.S. Walau bagaimanapun, bekalan makanan itu sahaja masih tidak mencukupi.

Terdapat satu kisah yang tak dapat saya lupakan. Di kawasan Yakena dan sekitarnya, terdapat rumah-rumah yang tidak musnah akibat perang. Rumah zaman dahulu diperbuat daripada kayu, jadi sesetengah rumah yang beratap jubin di sini telah diceraikan oleh mereka yang mahu menggunakannya sebagai bahan untuk membina rumah di Henza. Beberapa orang yang gagah telah pergi ke Yakenauntuk menceraikan rumah-rumah kayu di sana dan mengangkut bahan-bahan ini kembali ke Henza. Walau bagaimanapun, terdapat polis yang dipanggil Akaboshi (Topi Merah) iaitu pegawai polis awam yang dilantik oleh tentera A.S. Mereka memakai topi keledar keluli berwarna merah. Polis-polis itu telah menjumpai mereka. Lantas, mereka telah dihumban ke suatu tempat yang dikelilingi oleh pagar dawai berantai, yang kami panggil kana’ami (kawat mata punai).

Kami juga tidak dapat menangkap ikan ketika itu. Kami semua merupakan tawanan, maka kami ditahan di dalam kem dan tidak bebas bergerak. Sewaktu perang, terdapat Unit Kirikomitai (Shock Corps) dalam tentera Jepun. Di waktu malam, mereka melancarkan serangan mengejut terhadap tentera A.S. Tentera A.S gusar jika tawanan orang awam dibiarkan bergerak bebas, mereka akan menyertai unit it. Oleh itu, kami tiada kebebasan untuk menangkap ikan atau bercucuk tanam.

Pada zaman ini, kami tidak bebas untuk melakukan aktiviti-aktiviti tersebut. Walau bagaimanapun, mujurlah tiada tentera Jepun yang bersembunyi di Pulau Henza. Tentera Amerika akan menjadi kecoh jika ada tentera Jepun di sini. Saya fikir antara kawasan yang dikawal selia oleh tentera A.S, kawasan Pulau Henza ini agak tenang. Di atas bukit Yakena yang bertentangan dengan pantai terdapat “Unit Tentera Cina” ditempatkan di situ. Unit tentera Chiang Kai-shek berpangkalan di sana tetapi saya tidak tahu mengapa. Pangkalan peluru berpandu yang dipanggil “Pangkalan Nike” juga ditempatkan berhampiran kawasan Yohen.

Persekolahan di Sekolah Maehara

Oleh kerana saya merupakan pelajar sekolah menengah rendah sebelum perang bermula, saya kemudiannya meneruskan pelajaran di Sekolah Tinggi Maehara. Sekolah ini hanya pada nama sahaja. Kami tidak mempunyai buku teks, malah kerusi dan meja pun tiada. Guru-guru di sini pun bukanlah guru sekolah tinggi yang rasmi. Mereka terdiri dari guru-guru tahap dua sekolah rendah lama dan lepasan sekolah biasa. Oleh sebab kawasan ini di bawah pendudukan tentera A.S, hanya bahasa Inggeris yang kami pelajari dengan baik. Saya rasa hanya guru-guru bahasa Inggeris sahaja yang betul-betul menerima pendidikan bahasa Inggeris yang sempurna di sini. Kekurangan tenaga pengajar membuatkan saya ragu-ragu adakah guru-guru lain juga merupakan guru rasmi sekolah tinggi atau tidak. Pada waktu sebegini, sudah tentu pakaian seragam juga tiada.

Jika anda tanya apa yang kami buat di sekolah ketika itu, guru muzik mengajar kami menyanyi dan melakukan senaman ringkas. Keadaan ketika itu tidak membolehkan kami menerima pendidikan yang wajar. Bukan sahaja papan hitam, malah kerusi dan meja pun tidak lengkap. Cumanya, polisi tentera A.S telah mengarahkan supaya sekolah-sekolah mengumpulkan pelajar-pelajar dan memberikan pendidikan. saya rasa sebab inilah kami berada di sekolah. Situasi ini berterusan sehingga
pertengahan tahun 1946.

Insiden kehilangan pistol.

Menjelang tahun 1946, Sekolah Tinggi Maehara telah dipindahkan ke tapak yang sebelum ini merupakan bangunan penginapan tentera A.S dipanggil Quonset. Kini, ia merupakan tapak Sekolah Menengah Rendah Yokatsu. Di sana, berlaku satu insiden besar. Sepucuk pistol telah tertinggal di salah sebuah Quonset selepas tentera A.S berpindah keluar. Seorang pelajar telah menjumpainya dan menyembunyikan pistol itu. Sekitar waktu itu, asrama pelajar adalah khemah-khemah. Pelajar-peajar dari Pulai Ikei, Tsuken dan pulau terpencil lain ditempatkan di asrama ini. Pelajar-pelajar dari luar Henza walaupun berdekatan juga tinggal di asrama pelajar ini. Khemah tentera A.S yang menjadi asrama pelajar boleh memuatkan lima orang setiap khemah. Asrama lelaki dan perempuan adalah berasingan. Kadang-kala, tentera A.S akan datang membuat kacau di asrama perempuan. Jadi, pelajar lelaki yang menjumpai pistol itu cuba menakutkan tentera A.S dengan pistol itu. Keesokan harinya, pengarah pendidikan tentera A.S telah datang ke sekolah. Dia memberitahu, “Sekolah ini akan ditutup kecuali pistol itu dikembalikan!”

Dia mengumpulkan semua pelajar dan bertanya, “Siapa di antara kalian yang menyimpan pistol tersebut?” Sudah tentu tiada sesiapa yang ingin mengaku. Ditangkap kerana sesuatu seperti itu pastinya masalah yang amat besar. Mendengar perkara ini, pelajar yang memiliki pistol tersebut secara senyap telah memcampaknya ke dalam gaung di belakang sekolah yang dikenali sebagai pangkalan seksyen. Walau bagaimanapun, kemudian dia mengaku yang dia telah membuang pistol itu di sana. Kemudian, semua pelajar telah dikerahkan supaya turun ke bawah gaung. Kami diberi amaran, “Sekolah akan ditutup kecuali pistol itu dijumpai!” Dua hari kami mencari hingga jumpa. Pistol itu berjaya ditemukan dan dikembalikan kepada tentera A.S. Mujurlah sekolah tidak perlu ditutup.

Bangunan sekolah dan asrama pelajar semuanya bekalan bantuan tentera A.S. Makanan kami ialah ‘Dangojiru’ iaitu bebola tepung yang kami masukkan ke dalam sup. Beginilah caranya kami berjaya mengelak daripada masalah kebuluran pada zaman itu.

Mencari pekerjaan selapas tamat sekolah

Pada September 1946, kelompok pertama graduan Sekolah Tinggi Maehara tamat persekolahan. Saya merupakan kelompok kedua, saya tamat belajar setengah tahun selepas itu, pada bulan Mac 1947. Saya tamat belajar tidak sampai setahun sejak saya mula memasuk sekolah tinggi ini. Ya, memang tidak cukup setahun pun. Syarat untuk menduduki peperiksaan kemasukan universiti pada waktu itu ialah menghadiri sekolah selama 12 tahun, jadi saya tidak dapat meneruskan pengajian ke universiti kerana saya tidak cukup 12 tahun persekolahan. Tiada universiti di Okinawa pada waktu itu dan sekolah menengah merupakan tahap pendidikan tertinggi. Oleh itu, sebaik sahaja saya tamat belajar di sekolah tinggi, saya menjadi guru sekolah rendah.

Berbanding guru lelaki, terdapat lebih ramai guru perempuan ketika itu. Gaji guru sangat rendah. Akhirnya sekitar tahun 1948, kami mula menerima mata wang tentera. Maksud saya ialah “B yen” (mata wang tentera A.S zaman ini). Gaji bulanan pada waktu itu ialah 220 yen untuk guru sekolah, 400 yen untuk pengetua sekolah dan 800 hingga 1,000 yen untuk Ketua Eksekutif Kerajaan Kepulauan Ryukyu. Terdapat satu jenama rokok yang boleh didapati dalam pasaran gelap, dengan reka bentuk yang mempunyai ilustrasi bulat merah yang dipanggil Lucky Strike. Sekarton rokok mengandungi 10 pek rokok dan harganya ialah 300 yen. Ada yang berkata, “Guru sekolah boleh bekerja sebulan tetapi gaji mereka masih tidak setanding dengan sekartun rokok.” Oleh itu, guru-guru pada zaman ini dipanggil “Shinshigwa”. Guru-guru amat dihormati pada zaman sebelum perang, tetapi selepas perang, iaitu zaman kekurangan bahan dan gaji yang rendah; guru dicemuh dengan perkatan ejekan “Shinshigwata”. Saya berasa sangat malu menjadi guru pada zaman ini. Bekerja untuk tentera Amerika atau pelbagai tempat lain mungkin dapat memperoleh tiga hingga empat kali ganda gaji, jadi tidak ramai lelaki yang menjadi guru.

Industri perkapalan dan sekerap menjadi popular

Selama lebih kurang sepuluh tahun selepas perang, iaitu semasa jalan raya masih belum dibina dengan betul dan tidak banyak trak yang boleh didapati, pengangkutan laut terus berkembang dan Henza telah menjadi pusat pengangkutan laut. Waktu ini dipanggil era “Ledakan Sekerap”. “Ledakan Sekerap” ialah apabila ramai orang mengaut keuntungan daripada mengumpul besi sekerap dan wayar kuprum dari kapal perang yang karam dan kereta kebal yang terbiar rosak ketika zaman perang dan menjualnya untuk mendapat duit. Walau bagaimanapun, agak sukar untuk menemukan wayar kuprum dan besi sekerap ini. Pada waktu itu belum ada mesin yang dilengkapi magnet untuk mencari besi. Jadi, cara yang ada hanyalah menyelam ke dalam laut dan mencarinya dengan hanya menggunakan mata kasar. Terdapat beberapa penyelam handal di Henza dan mereka sering berjaya menemui kapal karam, jauh lebih banyak daripada penyelam dari kawasan lain. Mereka kumpulkan bahan-bahan untuk dijual sebagai besi sekerap sewaktu era “Ledakan Sekerap”. Mereka yang terlibat dalam industri perikanan sekitar Filipina atau Thailand serta kawasan berhampiran telah kembali ke Okinawa selepas perang. Mereka telah bekerja di laut, jadi mereka mempunyai pengetahuan yang lebih luas tentang laut. Sesetengah orang memperoleh banyak wang dengan berjaya mencari barang sekerap. Ada juga yang nampaknya gagal memperoleh wang kerana mereka tidak berjaya menemui barang sekerap. Saya percaya “Ledakan Sekerap” berterusan selama lebih kurang tiga tahun.

Saya juga bekerja untuk sebuah syarikat perkapalan sekitar tahun 1946 atau 1947. Pulau Amami-Oshima masih berada di bawah kawalan AS dan belum dikembalikan kepada Jepun. Terdapat rantaian pulau bagi sepuluh kepulauan di antara Pulau Amami-Oshima dan Kagoshima, yang membentuk Kampung Toshima. Antaranya ialah Pulau Kuchinoshima dan Pulau Nakanoshima. Kuchinoshima pula terletak berhampiran sempadan antara Jepun dan Amerika Syarikat. Saya pernah pergi ke Kuchinoshima dengan menaiki kapal yang mengangkut wayar kuprum dari Okinawa. Sudah tentu bukan sebagai kapten kapal, hanya kerani dalam kru kapal.
Kami bertukar barang di Kuchinoshima dengan menyerahkan wayar kuprum kami dan menerima kayu sebagai balasan. Perdagangan ini dipanggil barter. Pada waktu ini, transaksi ini boleh dikira sebagai penyeludupan atau perdagangan haram. Tetapi, saya tidak pernah mendengar sesiapa pun yang telah dihukum oleh undang-undang.
Pada pendapat saya, meletusnya “Ledakan Sekerap” ini adalah kerana Jepun waktu itu kekurangan bahan besi dan lombong juga tidak cukup hasil. Oleh itu, Jepun membeli sebanyak-banyaknya wayar kuprum dan besi sekerap, dan Okinawa memenuhi permintaan ini yang membawa kepada “Ledakan Sekerap”. Segala-galanya sukar pada zaman itu. Saya juga pergi jauh ke sempadan di Pulau Kuchinoshima yang terletak di garisan latitud 30 darjah.

Kesusahan di pulau terpencil

Kapal yang menyeberang hingga ke pulau terpencil sekitar zaman itu sangat kecil. Sebuah kapal pernah menemui nahas di antara Pulau Yabuchi dan Pulau Henza. Daripada sembilan orang penumpang, tujuh orang mati lemas. dan guru saya antara mangsa nahas ini. Kemalangan di laut berlaku setiap tahun. Contohnya, seseorang boleh berjalan kaki di atas kawasan cetek ke pulau terpencil Yakena semasa air surut, tetapi sedikit ketidakseimbangan badan boleh menyebabkan seseorang itu terjatuh ke laut dalam. Banyak kejadian yang berlaku melibatkan orang yang terjatuh ke laut dalam, kemudian terkapai-kapai dan mati lemas.

Melahirkan anak juga sangat sukar bagi penduduk pulau-pulau terpencil.
Jika terdapat wanita yang menghadapi kesukaran beranak, dia akan dibaringkan di bahagian atas papan pintu dan tiga atau empat orang lelaki gagah akan membawanya. Jika mereka tiada bot atau kapal, mereka terpaksa berlari menyeberangi kawasan cetek semasa air surut ke hospital. Apabila segala-galanya berjalan dengan lancar, tiada masalah. Tetapi jika proses pengangkutan ini bermasalah, kemalangan ketika proses kelahiran turut berlaku. Mereka juga tidak boleh bergantung pada kapal semasa kecemasan. Tiada kapal yang boleh digunakan semasa air surut dan walaupun kapten kapal dikejutkan daripada tidurnya dan segera bergegas untuk berlepas, 30 minit hingga sejam masa yang diperlukan dan itu sudah terlalu lambat. Air pasang pula menyukarkan pengangkutan pesakit menggunakan papan pintu. Pesakit kecemasan yang boleh diangkut ketika air surut menyebabkan kehidupan di sini amatlah payah. Ini meningkatkan momentum orang ramai untuk meminta jalan laut ‘Kaichu Road’ dibina supaya kepayahan hidup orang ramai di kepulauan terpencil dapat dipermudahkan.

Mesej untuk golongan muda

Saya fikir era kini lebih fokus pada barang material sahaja. Apa yang saya maksudkan di sini ialah, jalinan hati ke hati sukar dilihat pada masa kini. Perkara ini berlaku dalam masyarakat umum dan juga hubungan antara ibu bapa dan anak-anak serta antara adik-beradik ataupun rakan-rakan. Saya berharap golongan muda menjalinkan perhubungan sesama mereka yang bukan bersifat material, tetapi melalui ikatan yang ikhlas dari hati dengan mempercayai antara satu sama lain. Untuk mendapatkan kepercayaan antara kita bukankah patut kita menghormati satu sama lain terlebih dahulu? Saya percaya apa yang tidak ada pada diri kita mungkin ada pada orang lain. Oleh itu, marilah kita lebih saling menghormati antara satu sama lain.


En. Shokou Okudara telah berjasa sebagai guru sekolah rendah dan ahli majlis Kampung Yonashiro dan juga telah memegang beberapa jawatan dalam persatuan dan jawatankuasa di Kampung Yonashiro. Beliau telah banyak berbakti ketika menjadi penghulu Kampung Yonashiro untuk dua penggal selama lapan tahun. Beliau dikurniakan Anugerah Darjah Matahari Terbit pada tahun 2001 atas bakti beliau dalam majlis tempatan.