Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Laluan Kehakiman: Ke Arah Hak Asasi Manusia

En. Saneyoshi Furugen

Tarikh Lahir:1929

Tempat Lahir:Kampung Kunigaimi

Dari zaman kanak-kanak hingga ke sekolah latihan perguruan

Saya telah dilahirkan di Ada, Kampung Kunigami yang terletak di utara pulau utama Okinawa. Ayah saya meninggal dunia kerana sakit semasa saya masih kecil. Ibu saya seorang yang rajin, dan melakukan yang terbaik untuk membesarkan kami adik beradik (seorang diri) tanpa membuat kami risau. Saya mempunyai 3 abang dan seorang adik perempuan,yang merupakan anak bongsu. Saya adalah anak keempat.

Pada bulan April 1944, saya memasuki sekolah latihan perguruan Okinawa di Shuri. Pada semester kedua, saya hanya dapat menghadiri kelas dalam minggu pertama, dan dari minggu kedua, tiba-tiba tanpa sebarang penjelasan, saya dipaksa membina pangkalan tentera, memacu Okinawa ke arah peperangan. Pada 23 Mac 1945, semua pelajar sekolah latihan perguruan telah memasuki gua Ryukon tepat ketika serbuan udara di Okinawa oleh Amerika bermula. Itulah permulaan Perang Okinawa.

Dikerah masuk ke unit Tekketsu Kinnotai

Pada 31 Mac, kami menerima arahan ketenteraan daripada ibu pejabat tentera. Unit Tekketsu Kinnotai telah dibentuk dan kami menerima arahan daripada ibu pejabat tentera untuk menjalankan pelbagai tugas. Fasiliti jana kuasa terletak di ibu pejabat tentera, dan 20 orang daripada pelajar tahun satu bertanggungjawab membekalkan air untuk menyejukkan mesin jana kuasa. Leftenan Jeneral Ushijima mengetuai Tentera Divisyen ke-32 dari ibu pejabat bawah tanah, ialah tempat yang sangat gelap gelita apabila masuk 10 meter ke dalam. Menghidupkan lampu dalam fasiliti jana kuasa nampak mudah, tetapi ia adalah tugas yang penting. Perang semakin sengit dan banyak Unit Tekketsu Kinnotai meninggal dunia.

Pada pertengahan malam 4 Mei, saya dan rakan sekelas saya mengambil air sejuk dari perigi dan membawanya ke fasiliti jana kuasa. Kami bergerak berulang-alik antara perigi dan fasiliti jana kuasa sehingga tong dram penuh dan kemudian berehat sebelum mengulangi proses tersebut sekali lagi. Apabila tong dram penuh, saya melompat turun ke lubang di sebelah mesin jana kuasa untuk berehat sebentar. Tidak lama selepas itu, tembakan meletup berhampiran, dan serpihan peluru mencederakan leher dan bahu rakan sekelas saya(yang datang bersama mengangkut air sejuk) dan membunuhnya serta-merta. Perkara seperti itu berlaku di sekeliling saya.

Pada 27 Mei, tentera memutuskan untuk berundur ke selatan. Kami bergilir-gilir dalam kumpulan 4 orang membawa rakan-rakan yang telah kehilangan 2 jari kaki dan tidak boleh berjalan. Saya melihat bayi berusia enam bulan merangkak-rangkak di atas dada ibunya yang sudah mati di atas rabung di antara ladang seolah-olah dikejar sesuatu. Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada bayi itu selepas itu. Adakah dia terselamat daripada perang? Adakah ia diselamatkan oleh seseorang yang lalu di situ
Adakah bayi itu kehabisan tenaga dan mati. Adakah bayi itu juga terkena serpihan peluru dan mati di atas dada ibunya? Saya membayangkan ini berkali-kali. Apabila saya merenung kembali Perang Okinawa, saya ingat perkara itu. Kami mengembara dalam situasi seperti neraka itu, dari Shuri ke Mabuni di Bandar Itoman.

Arahan pembubaran dan perutusan pengetua

Pada 18 Jun, unit kami diperintahkan untuk dibubarkan. Memandangkan tentera Jepun masih berada di utara, kami menerima arahan daripada ibu pejabat tentera untuk menembusi barisan hadapan dan berjumpa dengan tentera Jepun. Pada malam hari selepas menerima arahan untuk pembubaran, kami membentuk satu pasukan kecil 3-4 orang, dan ketika sedang memikirkan bagaimana menuju ke utara. Ketika itulah Pengetua Encik Noda, Pegawai Tauliah Encik Iguchi, dan seorang pelajar senior bernama Kohagura datang ke tempat kami berada, iaitu kawasan di sebalik batu besar. Pengetua memberikan kata-kata terakhir kepada kami. Dengan tangan kirinya, dia menunjukkan kepada kami pad memo kecilnya dan dia berkata, “Kita sudah ada lebih daripada 110 mangsa” Dia terus berkata, pada kami pelajar tahun satu, “Kamu, orang muda yang akan mengambil alih Okinawa pada masa hadapan, jadi kamu mesti terus hidup, walau apa cara sekalipun.” Walaupun kami hanya pelajar tahun satu, tapi mesej dia memberi kami kekuatan untuk terus hidup. Saya masih ingat kata-kata itu dari semasa ke semasa sehingga hari ini.

Ditawan di Mabuni

Pada keesokan harinya(22 Jun), kami membuat keputusan untuk menembusi barisan hadapan Kunigami. Kami merangkak di sepanjang pantai, dan semasa kami memanjat batu, kami terlihat tentera Amerika dengan senjata api berdiri di bahagian atas bayang batu, jadi kami menyembunyikan diri supaya tidak dijumpai. Waktu itu masih senja dan tidak gelap sepenuhnya, dan semasa kami bergerak ke Kunigami, kami bertembung dengan Tentera Amerika yang bersenjata dan kami menjadi tahanan perang. Kami telah ditahan dalam kem penjara di Mabuni, kemudian dalam Kem penjara Yaka di Kin.

Dihantar ke Hawaii dalam keadaan telanjang

Kemudian sepuluh hari berlalu, tanpa diberitahu tempat tujuan, dan kami dipaksa menaiki trak dari kem penjara Yaka ke Chatan, Kadena dan Yomitan. Ramai tahanan dipindahkan dengan menaiki trak. Kapal pengangkut besar telah berlabuh di pantai, dan setelah menaiki bot pendarat ke kapal pengangkut, Kapal itu mempunyai tempat penyimpanan, dan di situlah kami diturunkan. Kami dipaksa berdiri di atas serbuk simen di atas lantai. Kami semua mula berasa sakit dan semasa kami berdiri di situ,
seorang jurubahasa (generasi kedua Amerika Jepun) datang dan berkata, “Kalian akan kekal di dalam bilik ini sehingga kalian sampai ke destinasi”
dan dia pergi. Terdapat lebih kurang 30-40 orang di bahagian bawah kapal itu, dan saya rasa ada beberapa lagi bilik seperti itu.

Setiap 2-3 hari sekali, kami dibawa ke dek kapal dan dipaksa mandi air laut. Kami tidak diberikan seluar dalam pun dan dibiarkan dalam keadan telanjang. Kami diberikan makanan dua kali sehari, tetapi makanannya hanya nasi dalam baldi besar dan lauk di dalam satu baldi lagi. (Tiada pinggan mangkuk dan di atas kedua tangan kami) diagihkan nasi dan lauk diletakkan di atasnya, dan kami cuba makan supaya tiada sup tumpah. Tidak ada tempat untuk membasuh tangan jadi kami hanya menjilat tangan.

Kapal pengangkut membawa kami ke Pearl Harbor di Hawaii. Kemudian, kami diberikan kembali kemeja lengan pendek dan seluar pendek yang diambil daripada kami semasa kami menaiki kapal satu set pakaian (yang telah dibasuh dan dilipat) dilemparkan semula kepada kami secara rawak. Apabila kami mendarat, kami telah berpakaian bukannya telanjang sepenuhnya. Hari pertama kami menjejak kaki di negara asing sebagai tahanan adalah pada 20 Julai.

Di Hawaii, terdapat ramai orang dari Okinawa, sebelum dan selepas perang. Mereka akan menyelinap makanan kepada kami melalui pagar kawat berduri yang mengelilingi kem. Mereka melakukan ini secara rahsia, bersembunyi dari polis tentera, sebagai ungkapan semangat. Melihat mereka memberi galakan melalui pagar kawat berduri sangat mengharukan dan membuatkan saya bersyukur dan menitiskan air mata gembira.

Saya tinggal di empat ke penjara yang berbeza dan bukannya satu sahaja kem penjara. Ada banyak kerja untuk dilakukan di kem penjara, seperti memotong rumput di kem tentera Amerika, membawa sampah ke trak, dan mencuci pakaian. Terdapat sebuah pesawat pengangkut untuk membawa barang ke Okinawa dan Hawaii, dan terbang antara Hawaii dan Okinawa dan saya membersihkan pesawat itu untuk seketika. Apabila pesawat itu tiba dari Okinawa, saya akan membuang kotoran dan dan membersihkan pesawat sebelum ia terbang kembali ke Okinawa. Saya dipaksa melakukan kerja itu untuk seketika. Kadang-kadang, saya berharap saya dapat kembali ke Okinawa, dengan bersembunyi dalam pesawat.

Berakhirnya perang

Pada suatu hari, saya ternampak pengawal Amerika membuat bunyi bising di penginapan mereka. Kami dapat melihat mereka dari kem tahanan perang di dalam pagar kawat berduri dan kira-kira 30 minit kemudian, seorang jurubahasa ( (generasi kedua Amerika Jepun) datang dan berkata, “Jepun telah kalah perang dan menyerah”. Ketika itulah saya menyedari bahawa kekecohan itu adalah tentera A.S. meraikan berakhirnya perang. Selepas mendengar Jepun telah menyerah kalah Buat pertama kali,
saya rasa lega tidak akan dibunuh, dan dapat meneruskan kehidupan. Memandangkan perang telah tamat, kami ingat tidak ada keperluan untuk ditahan dan dapat pulang ke Okinawa dengan segera, tetapi kehidupan kami sebagai tahanan perang bersambung selama satu tahun selepas itu.

Pulang dan kehidupan pasca perang

Sekitar hujung bulan Oktober tahun berikutnya, tahun 1946, kami meninggalkan Hawaii dan berpindah ke sebuah bot pengangkutan menuju ke Okinawa di Uraga, Tokyo Bay. Akhirnya saya dapat kembali ke Okinawa pada 9 November. Saya mendarat di Kubazaki di Nakagusuku. Pada keesokan harinya, saya telah dbawa menaiki kereta menuju ke Kunigami dan hari seterusnya, saya pulang ke kampung halaman saya (Ada, Kampung Kunigami)dengan berjalan kaki dari Yona, Kampung Kunigami.

Apabila saya kembali ke Ada, bekas rakan sekelas dan junior saya sedang belajar di sebuah sekolah dipanggil sekolah menengah. Sekolah latihan perguruan yang saya hadiri telah dimansuhkan, jadi saya tiada sekolah untuk kembali. Disebabkan perang, pendidikan saya telah dirampas,jadi semangat ingin belajar saya sangat kuat. Saya membuat permintaan untuk memulakan semula pembelajaran sebagai pelajar tahun ke-2, dan saya telah dimasukkan ke dalam Sekolah Menengah Hentona. Itulah permulaan baru bagi saya di kampung halaman saya selepas perang. Walaupun dipanggil sekolah menengah, kami tiada sebarang buku teks sekolah atau papan hitam yang sesuai. Papan lapis yang dicat dengn warna hitam digunakan sebagai papan hitam pada waktu itu. Itulah sekolah menengah saya pada waktu itu. Isteri saya adalah rakan sekelas saya. Pada semester kedua, saya merupakan presiden majlis sekolah dan isteri saya pula naib presiden. Pada tahun 1950, kami menjadi pelajar tahun satu bagi kelas sulung Universiti Ryukyu. Isteri saya juga telah memasuki Universiti Ryukyu.

Semasa saya belajar tahun kedua, saya telah pergi ke Tokyo pada bulan September. Semasa bersusah payah dengan belajar untuk peperiksaan kemasukan (sambil bekerja), saya telah diterima masuk ke Universiti Kansai. (Semasa saya tidak dapat membuat keputusan tentang jurusan saya), Parti Rakyat Okinawa, diketuai oleh Kamejiro Senaga, telah diserang dengan teruk oleh kerajaan tentera Amerika.

Kemarahan dan keazaman atas pendudukan Amerika

Menurut mahkamah tentera Amerika, mereka yang tiada peguam akhirnya akan berhadapan hukuman yang tidak adil. Sebagai tindak balas kepada itu, Encik Kamejiro Senaga telah meminta bantuan daripada beberapa orang peguam terkenal Okinawa untuk mengambil kes Parti Rakyat Okinawa. Tetapi peguam itu tidak mengambil kes itu kerana mereka takut akan tindakan balas oleh kerajaan Amerika jadi tiada siapa yang sudi membantu. Jadi, parti itu telah hadir perbicaraan entera tanpa peguam, dan dijatuhi hukuman. Saya membaca berita itu di dalam surat khabar. Saya tidak boleh menerima bahawa ketidakadilan seperti itu berlaku berlaku di Okinawa di bawah kawalan Amerika. Saya berasa marah terhadap ketidakadilan itu dan memutuskan jalan yang saya mahu ambil. Saya membuat keputusan untuk menjadi seorang peguam selepas belajar undang-undang, dan berjalan di jalan keadilan melakukan apa yang saya mampu menyumbang kepada kebaikan penduduk Okinawa untuk keamanan dan demokrasi. Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Kansai, Saya mengambil peperiksaan perkhidmatan awam untuk menjadi kerani mahkamah bagi kerajaan Pulau Ryukyu.

Pesanan kepada golongan muda

Seperti yang anda boleh lihat dari Perang Okinawa, kami tidak boleh menghentikan perang sebaik sahaja pangkalan tentera telah dibina, pasukan tentera telah ditempatkan dan perang sudah meletus. Anda boleh lihat dengan jelas apabila anda mengenang kembali Perang Okinawa yang umpama neraka. Manusia tidak seharusnya mengulang kesilapan seperti itu lagi. Perlembagaan Jepun secara jelas menetapkan seperti ini; “Kami berazam bahawa kami tidak dihantui lagi dengan kedahsyatan perang.” “Kita akan bergerak ke hadapan menuju ke arah perkara Perlembagaan Jepun tanpa henti, dan berusaha untuk mencapai dunia yang aman
di mana rakyat memainkan peranan utama.” Anda orang muda adalah orang yang akan memikul tanggungjawab itu, dan saya mahu anda memahaminya.


Encik Saneyoshi Furugen berkhidmat sebagai ahli Badan Perundangan Kerajaan Kepulauan Ryukyu dan ketua setiausaha Parti Rakyat Okinawa semasa tahun pendudukan Amerika selepas perang. Beliau berkhidmat dalam ahli majlis Wilayah dan ahli Dewan Perwakilan berikutan pengembalian Okinawa ke Jepun. Berdasarkan pengalamannya sendiri sebagai mangsa yang terselamat dalam Perang Okinawa, Encik Furugen telah aktif dalam gerakan anti-perang dan keamanan serta kerja yang melibatkan pangkalan tentera Amerika dan isu hak asasi manusia. Walaupun selepas bersara, Encik Furugen masih merasakan tanggungjawabnya untuk terus bercakap tentang Perang Okinawa.